Showing posts with label cerpen. Show all posts
Showing posts with label cerpen. Show all posts

Saturday, 31 March 2012

Cerpen: “Bolehkah Kita Bercinta Dahulu?”

by : hilal asyraf


Cerpen terbaru saya.
“Bolehkah Kita Bercinta Dahulu?”
Saya tidak mahu cakap banyak fasal cerpen ini.
Enjoy!
:-)

“Bolehkah Kita Bercinta Dahulu?”

Engkau sekadar terpana. Seakan-akan masa terhenti buat dirimu sahaja. Perasaan apakah ini? Engkau bertanya. Tetapi jiwa dan hati mendiamkan diri, meninggalkan engkau tanpa jawapannya.
“Abang Ridhwan, Abang Ridhwan.” Tubuhmu digoncang dan engkau sedari. Terus tertarik keluar dari lamunan, dan menoleh ke kiri. Amiruddin. Junior yang engkau kasihi, sedang memaut lenganmu bersama wajah gembira, sambil tangan kanan menunjuk kepada skrin laptop di hadapannya. Yang engkau tatapi tadi.
“Yang ini pula gambar kami masa beraya.” Ujarnya gembira.
Engkau hanya terangguk-angguk sahaja. Tetapi masih tidak dapat melarikan diri dari wajah di dalam gambar tadi, yang terwujud pada laptop yang sama. Kini kelihatan wajah itu bersama Amiruddin dan keluarga. Ya, dia mengetahui bahawa Amiruddin punya kakak. Tetapi selama ini tidak pernah dihiraukannya. Tidak pernah dia ambil tahu siapa namanya. Tidak pernah dia ingin tahu bagaimana rupanya.
Tetapi kini, engkau hingga tertusuk. Hatimu seakan diragut. Hingga engkau kembali menyoal jiwa: Apakah mungkin hatiku dicuri sekadar melihat gambar sahaja?
Mustahil!
Engkau membentak di alam jiwa.
Malam itu tidurmu tidak lena. Mengharap musafir bersama para junior tamat segera. Kerana benakmu penuh dengan rasa tidak selesa. Seakan disergah sesuatu, dan engkau tahu namanya. Tetapi engkau takut untuk mengaku, kerana namanya adalah…
Cinta.

*******

Enam bulan engkau memasung sukma. Cuba menyisihkan. Saban waktu engkau berkata: “Mustahil dengan melihat gambar sahaja, hati telah dicuri. Ini tidak lain hanya syaitan yang ingin menyesatkan diri.”
Engkau taburkan dalam dirimu pelbagai alasan. Takut hubungan dengan Amiruddin terganggu jika engkau ikutkan hasratmu ini. Engkau nyatakan juga bahawa engkau tidak kenal dia, tidak pernah berjumpa bertentang mata, tidak pernah mengetahui bagaimananya dia. Itu semua engkau suburkan agar perasaan itu mati begitu sahaja. Tetapi malang seribu kali malang, perasaan itu terus subur dan membungakan rasa buak yang tidak mampu dihalang.
Tetapi engkau masih bertahan. Menyibukkan diri. Hinggalah pada satu hari, engkau menyedari bahawa dari takdir Tuhan engkau tidak akan mampu berlari.
Engkau menyebut namanya: “Seterusnya, Puteri Raihanah Maisarah!”
Dan dia menapak ke pentas itu dengan sopan sambil menunduk malu dipandang khalayak. Engkau sendiri, yang tidak menyangka tugasan sebagai pengerusi majlis pada hari itu membawa kepada pertemuan ini, berdebar-debar melihatnya.
Hanya sesaat masa. Tetapi waktu seakan terhenti sekali lagi, seperti kala engkau melihat gambarnya. Tinggal kali ini secara realiti, dia berada di hadapanmu wahai Ridhwan hambaNya!
Indah. Bersinar. Lembut. Sederhana.
Dan pantas engkau menundukkan wajahmu semula, kerana merasakan jika tidak engkau lakukan begitu, engkau akan terbakar dengan keindahannya. Jiwamu gemuruh, dan kini engkau tidak lagi mampu memberikan alasan. Kami cintakan dia! Seakan seluruh tubuh bersuara membentakmu, dan engkau tidak mampu menentangnya.
Ya. Aku cintakan dia.
Dan engkau akhirnya hanya mampu mengakuinya.
Dia kembali turun mendapatkan keluarganya, sedang engkau hanya mampu melirik sahaja. Mindamu berputar pesat. Perancangan disusun atur.
Perjalanan cintamu kau mulakan.

*******

Suasana Plymouth sejuk dan kelam. Sudah sepenggal setengah engkau menjejakkan kaki di sini sebagai penuntut ilmu. Tetapi tiada siapa mengetahui bahawa, cita-citamu lebih daripada itu.
“Aku datang ke tanah eropah ini, untuk menuntut pengalaman, agar aku menjadi manusia.”
Itu cita-cita sebenarmu. Bukan semata-mata ingin menjadi pelajar cemerlang dalam TESL yang engkau ceburi. Bukan semata-mata ingin menjadi guru. Kerana itu engkau gandakan usahamu untuk mengekspansikan potensi suaramu.
“Menjadi penasyid yang lain dari lain. Yang bukan pandai menyanyi, tetapi mampu memimpin pendengarnya. Yang bukan sekadar memberikan halwa telinga, tetapi turut menghidupkan jiwa!”
Itu cita-citamu. Tidak pernah engkau tinggal. Kerana itu engkau rajin menulis lagu-lagu baru dan menyanyikannya. Upload di YouTube, letak di dalam blog. Masuk ke alam universiti yang tidak ada pelbagai peraturan ketat, membuatkan engkau bebas menyusun hidupmu sebagaimana yang engkau mahu. Semua itu engkau gunakan sebagai peluang, bukan semata-mata ruang.
Siapa sangka hasil usahamu, engkau telah berjaya mendapat perhatian syarikat rakaman. Lebih unik, engkau terkenal sebagai “Artis Malaysia Yang Tiada Di Malaysia” kerana tatkala album sulungmu keluar bertemu masyarakat, engkau masih di sini meneruskan kehidupan.
Sorotan lampu populariti mengejari, dan namamu mula disebut-sebut. Facebook milikmu menjadi perhatian ramai. Segala apa yang engkau catat, semuanya menjadi perbincangan.
Namun engkau masih seperti biasa. Engkau jelas bahawa populariti bukan apa yang engkau kejar. Tetapi mahu mengubah satu industri, sekaligus memimpin masyarakat kembali kepada Ilahi. Maka engkau teruskan kerjamu, langkahanmu.
Di samping niatnya untuk belajar berdikari agar tidak menyusahkan Abah dan Ummi, niat untuk mengajak manusia kembali kepada Ilahi dengan wasilah seni kekal terpahat di dalam hati.
Sedang engkau menggelamun memikirkan perjalanan hayatmu, tiba-tiba komputermu berbunyi. Engkau mendapatkannya. Rupanya Skype milikmu wujud kenalan baru minta di’approve’. Engkau lihat namanya. Ketika itu juga engkau membeliakkan mata.
Puan Aisyah Humaira’.
Bukan engkau tidak kenal siapa dia. Bonda kepada Raihanah yang engkau cinta.
“Mungkin Aisyah lain.” Engkau menyedapkan hati. Lantas engkau approve. Baru sahaja engkau hendak berlalu dari komputermu itu, deringan panggilan kedengaran. Engkau terkejut melihat paparan pada desktop. Aisyah Humaira’ is calling. Debar. Namun memandangkan engkau baru sahaja meng’approve’, mustahil engkau punya alasan untuk berkata tiada di hadapan komputer hingga tidak mengangkat panggilannya.
Maka engkau sambut panggilan itu. Headphone engkau sangkut di kepala.
“Assalamu’alaikum. Ridhwan ke ni?” Suara bonda itu menggetarkan gegendang.
“Wa’alaikumussalam. Ya, ini saya.”
“Haa, dapat pun. Ridhwan apa khabar? Ini makcik Aisyah ni.”
“Aaa, Ridhwan tahu. Ridhwan sihat alhamdulillah.”
Dan kemudian engkau bersembang dengan bonda itu berkenaan kehidupanmu di Plymouth. Engkau ceritakan suasananya yang sering kelam dan hujan kala musim sejuk. Engkau ceritakan bagaimana cerianya masyarakat di sana tatkala matahari memunculkan diri, hingga ramai keluar ke padang menikmati cahaya mentari. Engkau kongsikan juga kebanggaan masyarakat sana, The Hoe yang punya Rumah Api itu.
Bonda itu kadangkala mencelah bertanya berkenaan pengajianmu, juga tidak ketinggalan bertanya akan kerjayamu. Engkau menceritakan segalanya. Kadangkala bonda itu tertawa. Teringat dikau akan ziarah ke rumah itu sebelum berangkat ke Plymouth, untuk bertemu Amiruddin buat kesekian kalinya, juga untuk melihat suasana kehidupan keluarga itu kerana cinta yang ada di dalam jiwamu. Bahkan, Bonda itu juga membangkitkan akan ziarahmu. Buat engkau rasa sungguh rindu.
“Em, makcik ni call bukan sebab apa. Makcik dengar, Ridhwan suka dengan Raihanah. Betulkah?”
Ibarat disambar halilintar, engkau rasa mahu jatuh dari kerusimu tika itu juga. Soalan yang muncul tiba-tiba di celah kemesraan bicara. Buat engkau sangat terkejut. Hingga engkau sendiri teragak-agak untuk memberikan respon balas.
“Makcik marah?” Itu soalanmu. Soalan dibalas soalan. Kerana engkau nyata risau.
“Tak adalah. Kalau betul, lagilah makcik suka.” Bonda itu tertawa.
“Oh. Legalah dengar makcik cakap macam itu. Ya, Ridhwan suka dengan Raihanah.”
“Haa, kenapa Ridhwan tak cakap masa datang rumah tempoh hari? Kan senang kalau cakap terus.”
“Raihanah muda lagi kan, Makcik? Lagipun, Ridhwan masa itu belum ada apa-apa nak tunjukkan bukti yang Ridhwan bersedia nak ambil anak orang jadi isteri.”
“Alhamdulillah. Senang la hati makcik dengar yang Ridhwan suka pada Raihanah. Tidak mengapa. Kita senyapkan dulu daripada Raihanah. Nanti makcik perlahan-lahan tanya dia.”
“Eh makcik, tak mengapalah. Dia muda lagi kan. Rilek-rilek sahaja.” Engkau berpesan. Engkau takut lain pula jadinya nanti.
“Tidak mengapa, Ridhwan jangan risau.”
Dan sembang-sembang seterusnya berjalan tanpa menyentuh perkara itu.
Malam itu, engkau sekadar berfikir panjang. Aturan apakah ini ya Allah? Engkau bertanya kepada Tuhan empunya langit dan bumi. Semuanya seperti diaturkan olehnya. Rancangmu, semaca pulang bercuti tahun hadapan baru hendak engkau luahkan hasrat ini. Siapa sangka Sang Bonda sendiri akan menghubungimu.
“Apakah ini petanda bahawa Engkau sedang membantuku?”
Tetapi engkau tidak pernah tahu.
Maka engkau biarkan sahaja apa yang berlaku. Sambil berpesan kepada dirimu bahawa engkau perlu melipat gandakan usaha. Perlu membuktikan betapa diri ini layak untuk punya seorang isteri. Layak mencintai. Layak dicintai.
Cinta bukan satu keseronokan nafsu. Kerana engkau sentiasa percaya – Kalau benar cinta, mesti mahu bersama ke syurgaNya. Apa-apa yang melemparkan ke neraka, itu bukan cinta namanya. Engkau kekal dengan prinsip itu.
Malam itu engkau berazam, engkau akan menjadi yang lebih baik lagi daripada hari ini.
Perjalanan cinta ini mesti engkau jadikan perjalanan yang diredhai Ilahi.

*******

Engkau sendiri tidak menyangka, sesuatu yang dirasakan ‘bantuan Tuhan’, rupanya datang bersamanya 1001 dugaan.
Engkau ditolak, tanpa engkau lakukan lamaran. Satu perkara yang paling kelakar pernah engkau dengar dalam sejarah insan, tetapi berlaku kepada dirimu di luar jangkaan. Rupa-rupanya Bonda kepada Raihanah sudah bertanya akan dirimu kepadanya, tanpa engkau ketahui.
Yang engkau perolehi hanyalah panggilan daripada Makcik Aisyah itu, menyatakan Raihanah menolak, tanpa engkau pernah menyebut pun suruh melamarnya. Saat itu engkau nyata bersedih hati, dan berduka beberapa ketika. Kelam Plymouth seakan kena dengan warna jiwamu saat itu.
Tetapi engkau tetap meneruskan hidup. Dan siapa menyangka, selepas 3 bulan berlalu, engkau mendapat panggilan lagi menyatakan bahawa engkau diterima Raihanah pula. Gembira, berbaur sangsi. Sudah tolak, terima pula?
Engkau hubungi Amiruddin saat itu, untuk kepastian. Agar tiada apa yang buruk terjadi.
“Hem, kakak ana yang sulung tu marah betul. Ana takut Raihanah ni kena paksa la Abang Ridhwan.”
Dan engkau rasa tidak sedap hati. Lantas engkau hantarkan pesan kepada Makcik Aisyah, agar jangan dipaksa-paksa. Nyata engkau juga tidak suka kalau Raihanah yang kau cintai itu terluka. Tetapi Makcik Aisyah meyakinkan, penerimaan semula ini adalah pilihan Raihanah sendiri, dan engkau dinasihatkan agar tidak peduli kepada kakak sulung yang berang pada diri. Lebih menenangkan jiwamu, Amiruddin menghubungi menyatakan benar apa yang dikatakan bondanya itu.
Engkau rasa sedikit lega. Bertambah lega apabila selepas itu, engkau mula berhubungan dengan Raihanah melalui email. Sebulan sekali. Berta’aruf. Berkongsi cerita. Dan engkau dapati, sepanjang perkongsian engkau dengan dia di dalam email, dia ceria-ceria sahaja. Engkau buat lawak, dia tertawa. Dia juga sudi menceritakan kehidupannya, apa yang dia suka dan sebagainya.
Engkau kira, semuanya berjalan lancar.
Engkau kira.
Tetapi siapa yang tahu apa sebenarnya berlaku.
Engkau hanya manusia.

******

Engkau pulang bercuti, selepas dua tahun tidak pulang. Sambutan kepadamu sangat hangat. Memandangkan album yang engkau keluarkan mendapat perhatian yang amat menggalakkan. Walaupun namanya bercuti, tetapi engkau hakikatnya berkerja. Ke hulu ke hilir engkau dibawa syarikat rakaman untuk bertemu pendengar, untuk menghadiri temu ramah di stesen radio, dan tidak kurang juga memberikan ceramah memandangkan apa yang engkau nyanyikan itu punya nilai rohani dan motivasi.
Di tengah kegencaran kesibukan ini, engkau sempat luangkan masa menziarahi rakan-rakan. Bertemu dan bertukar cerita. Bermesra setelah sekian lama tidak berjumpa.
Tetapi siapa sangka, rakan-rakan yang engkau cinta itulah, yang membawa kisah buruk di dalam hayat yang engkau kira bahagia.
“Ridhwan.” Toriq bersuara. Nada sembang-sembang yang ceria tadi, jadi dingin secara tiba-tiba. Engkau memandang ke arahnya dengan senyuman yang masih bersisa.
“Kenapa?”
“Macam mana engkau dengan Raihanah?”
“Em? Ok je. Kenapa tiba-tiba tanya?”
“Taklah. Aku dengar engkau paksa dia.”
“Ha? Siapa cerita?”
“Adik aku. Dan kawan-kawan dia di universiti. Mereka cerita, katanya Raihanah menangis-nangis cerita fasal engkau paksa dia.”
Engkau tahu adik Toriq seuniversiti dengan Raihanah. Tetapi benarkah cerita ini? Engkau bertanya kepada diri. Namun, mustahil Toriq berbohong. Toriq itu sahabatmu semenjak kecil. Sekolah menengah bersamamu. Menjadi pengawas bersamamu. Melalui pelbagai pahit maung bersamamu. Engkau sendiri tidak sampai hati untuk menyatakan Toriq membawa cerita palsu.
“Betul ke ni Toriq?”
Engkau lihat Toriq mengangguk.
“Aku tak tahu pun.”  Nadamu kecewa. Benar-benar kecewa. Kalau sampai Raihanah mengalirkan air mata, maka apakah makna engkau hidup di atas dunia? Tetapi engkau juga sangsi dengan kenyataan Toriq sebenarnya. Kerana nyata engkau selama ini berbalas email dengan Raihanah, dia kelihatan ceria sahaja. Namun sekali lagi engkau kata: Di dalam tulisan, mana tahu dia sembunyikan kesedihannya di balik cerianya tulisan dia?
Engkau mula rasa rapuh. Engkau kecewa. Berita ini nyata buat engkau tidak gembira.
Lebih buruk, perkara itu tidak tamat begitu sahaja. Engkau pergi menziarahi seorang lagi rakan, dan ketika sarapan, dia yang bernama Rafiq itu bersuara.
“Adik aku balik rumah, bising sebut nama engkau. Kata engkau ni mengada-ngada. Raihanah dah tak suka, engkau lagi paksa-paksa.” Tiba-tiba Rafiq membangkitkan.
Engkau yang lapar dan hajatkan sarapan yang enak, terus hilang selera. Dan engkau tahu, adik Rafiq juga belajar di universiti yang sama dengan Raihanah. Engkau mula rasa, ke mana engkau pergi, wajah engkau adalah wajah pemaksa. Pemaksa anak orang.
Benarkah? Fitnah apakah ini?
“Tetapi aku tak kisah pun.” Rafiq tersenyum kepada engkau. Namun senyuman itu tidak dapat menenangkan jiwamu. Kerana yang penting untuk engkau bukan apa yang Rafiq fikir. Bukan apa yang seluruh dunia rasa. Tetapi apa yang Raihanah rasa. Benarkah dia terseksa? Engkau mengulang-ulang pertanyaan itu.
Hingga kepada sahabt engkau paling karib, Emrullah, menyuarakan hal ini.
“Sahabat, kakak aku tanya, betul ke engkau paksa Raihanah?”
“Engkau dengar daripada mana ni Emrullah?” Suasana di dalam kereta terus menjadi kelam. Sedang tari baru sahaja ceria berkongsi itu dan ini dengan seorang Emrullah. Sahabat paling akrab yang engkau ada.
“Aku dengar daripada kakak aku. Tetapi kakak aku kata, dia tak percaya.”
“Kakak engkau dengar daripada mana?”
“Kakak aku dengar kawan dia cerita, yang kakak kepada Raihanah tu bising-bising pada kawan-kawan kata engkau paksa Raihanah.”
Kakak sulung Raihanah. Engkau jadi teringat kepada apa yang Amiruddin cerita.
“Dan aku sah-sah lah tak percaya. Itu yang aku tanya.” Jelas Emrullah.
“Mana aku paksa dia. Aku lamar dia pun tidak!” Engkau bercerita. Dan bersama Emrullah, engkau tidak malu mengalirkan air mata.
“Engkau belum dengar cerita yang lebih ridiculous. Kata engkau lamar dia sampai empat kali.” Emrullah bersuara.
Engkau hanya mampu menggeleng kepala. Fitnah. Bila mula disebar, dan ditebar, maka ianya akan berubah dan berkembang menjadi perkara lain. Entah siapa yang mula menyebarkan perkara ini. Engkau sudah mula mendapat satu nama.
Kakak sulung Raihanah. Namanya Rania Maisarah.
Tetapi entah mengapa, di dalam lubuk hatimu menyatakan, Raihanah mungkin terlibat sama.
Mungkin benar Raihanah juga bercerita.
“Entahlah Emrullah. Aku kecewa dengan apa yang berlaku.”
Dan di dalam kereta yang dipandu Emrullah itu, engkau lepaskan tangisanmu. Emrullah sahabat setia, berdiam begitu sahaja, dan engkau tahu begitulah caranya dia menghormati dirimu yang sayu.

*******

Tiada yang mengetahui bagaimana kisahmu. Di balik hujan populariti dan perhatian yang diberikan mereka yang mengikutimu. Di balik ulasan para blogger berkenaan lagu-lagumu. Tiada yang tahu. Saat engkau menunjukkan keceriaanmu di Facebook, orang hanya tahu engkau adalah manusia paling bertuah di dunia. Tiada siapa yang mengetahui bagaimana kisahmu yang sebenarnya.
Kini engkau telah menjadi tunangan orang. Engkau umumkan kepada khalayak bahawa engkau telah bertunang, dan dengan permintaan Raihanah, engkau rahsiakan namanya. Engkau sendiri mengetahui bahawa engkau ramai peminat perempuan. Engkau pernah beberapa kali dilamar mereka, juga pernah sampai ada yang menulis di blognya berkenaan engkau. Engkau mula sedar hakikat dunia. Kadangkala engkau hanya membalas salam yang diberikan sahaja, mereka sudah gembira tidak terkira. Sedangkan untukmu, itu biasa-biasa sahaja. Kerana itu engkau umumkan pertunanganmu. Kerana itu, kadangkala engkau ceritakan rindumu.
Semua menyangka engkau sedang lalui period bahagia. Hendak meniti alam perkahwinan, semua sangka engkau termotivasi dengannya.
Tiada siapa mengetahui betapa peritnya apa yang engkau lalui.
Memang engkau pun tahu, sukar hendak membersihkan namamu. Apatah lagi apabila ada ahli di dalam keluarga yang bercerita, pasti orang lain buta-buta percaya. Sedang posisimu adalah ‘Sang Pemaksa’, siapa mahu dengar ceritamu? Ditambah dengan engkau merupakan seorang punya nama, seorang punya harta, rata-rata menganggap engkau ego dan angkuh, berlagak dan kasar. Tidak mustahil dengan gambaran sedemikian rupa, orang percaya engkau memaksa anak orang.
Tersepit.
Bila bertunang, tambah perit. Ada suara busuk menyatakan itu satu lagi bentuk paksaan. Tiada siapa yang tahu, engkau hendak menjaga hati Raihanah, sanggup engkau kata: Tidak bertunang pun tidak mengapa. Namun ini semua hajat Ummimu, Ummimu yang menghubungi Raihanah, dan Raihanah yang bersetuju. Tiada siapa tahu bagaimana tersepitnya engkau di dalam suasana. Tiada siapa yang tahu bagaimana engkau risaukan keadaannya, Raihanah yang engkau cinta.
Yang rakan-rakan engkau tahu, engkau seorang pemaksa.
Pemaksa anak orang. Bukan satu tuduhan yang kecil. Kerana engkau bakal berkahwin dengannya, dan hidup bersamanya. Engkau bukan tidak tahu engkau pernah di’reject’. Kerana itu engkau usahakan macam-macam cara untuk memenangi hati Raihanah. Sangka engkau, penerimaan semula adalah ‘peluang’ yang diberikan oleh Raihanah sendiri. Sungguh engkau tidak menyangka begini pula jadinya cerita.
Naif. Bodoh. Itu yang engkau ulang kali sebut tatkala mengherdik diri.
Hinggalah kala engkau mengajak Raihanah sendiri membincangkan perkara ini. Awal-awalnya, Raihanah mengelak itu dan ini. Tetapi engkau nyatakan bahawa, ini mesti diselesaikan. Sampai engkau merasa, mungkin kerana rasa ‘terpaksa’ inilah Raihanah menolak untuk berkahwin awal dengan engkau. Engkau ingin rasa ‘terpaksa’ ini hilang.
Bahkan, jika benar rasa ‘terpaksa’, hingga segala kegembiraan yang engkau lihat di dalam tulisan Raihanah selama ini adalah palsu belaka, engkau mahu putuskan sahaja hubungan ini. Engkau tidak mahu sukarkan Raihanah.
Dan Raihanah akhirnya mengalah. Bersetuju berbincang dan menceritakan kebenaran. Dua hari suntuk engkau dan dia berbalas email berbincang akan perkara sebenar. Meluahkan apa yang terkandung di dalam hati.
Engkau akhirnya mula tahu, ini semua berpunca dari salah faham yang berlaku.
“Saya pun ingat awak yang paksa. Tetapi lepas saya berhubung dengan awak, saya tak rasa awak begitu orangnya. Yalah, saya tersilap awal-awal dulu emosi sangat. Saya cerita pada kawan-kawan. Masa itu saya tak kenal awak betul-betul lagi.”
Dia akhirnya memberikan pengakuan.
“Habis, awak masih rasa terpaksa? Awak benci dengan saya?”
“Tidak. Saya tak rasa benci pun pada awak. Bahkan, saya usaha buka hati saya untuk terima awak.” Berserta smileys yang menyenangkan.
“Bagaimana dengan kakak awak?”
“Hem, yang itu entahlah. Entah apa yang dia tak suka sangat. Awak, awak biar sahajalah dia ya?”
“Asal awak bahagia, orang lain nak rasa apa, saya tidak kisah.”
“Saya minta maaf kalau saya tak berani nak bersihkan nama awak, nak backing awak dari kakak saya, dan sebagainya. Saya sedar saya silap, saya minta maaf. Dan minta maaf sebab saya bukan jenis yang boleh sangat jiwang-jiwang ni. Sebab itu saya biasa-biasa sahaja dengan awak. Kita bercinta lepas kahwin ya?”
“Saya tetap akan terus cintakan awak, sampai kita kahwin, dan selepas itu.”
Dan smileys terwujud pada email, tanda semuanya baik-baik sahaja.
Engkau yang kini menghadap pantai di Plymouth rasa bahagia dengan email yang diterima malam tadi itu. Engkau rasa tenang. Engkau rasa senang. Ya, namamu masih buruk bagi sebahagian rakan-rakan kerana tiada yang mampu membelamu. Perlu yang bersalah yang membersihkan nama. Tetapi engkau sudah cukup bahagia.
Engkau memandang ke langit hari itu, dan engkau berbicara kepadaNya:
“Engkau ya Allah, hikmahMu memang tiada siapa mampu menjangka.”
Engkau teringat saban tangismu melalui hari-hari lalu. Engkau kembali melihat betapa engkau berubah menjadi lebih berhati-hati. Engkau mejadi lebih memikirkan orang lain. Engkau jadi lebih matang dan lebih berpandangan jauh.
Allah sedang mendidikmu. Itu yang engkau lihat daripada cerita ini.
Engkau mengenali kehidupan dunia ini dengan lebih jelas. Permainan di dalamnya berkembar dengan kebahayaan. Engkau menyedari, sebaik mana pun seseorang itu berusaha, dia pasti akan diduga. Sebersih mana pun jalan yang diambil, pasti akan ada dukanya. Engkau akhirnya berjaya menyelami makna sabar dan percaya kepada Allah, engkau akhirnya berjaya menggapai perasaan bersangka baik kepada Ilahi tatkala diduga hebat.
Engkau bersyukur tidak mengalah. Eengkau bersyukur engkau sabar.
“Kalau Rasulullah pembawa kebenaran itu pun diuji, mustahil tidak aku.” Engkau berkata kepada diri.
Mungkin kehitaman cerita yang terpalit padamu tidak akan dapat dicuci.
Mungkin sebahagian besar rakan-rakanmu tidak akan mengetahui cerita yang sebenar ini. Bahkan, perjalanan cinta sebegini amatlah berat untuk seseorang itu lalui.
Sudahlah berada dalam batasan syara’, yang tidak membenarkan itu dan ini. Diketatkan lagi dengan sikap Raihanah yang sangat menjaga, hingga bermesra pun jarang sekali. Disempurnakan pula dengan fitnah-fitnah yang melanda diri. Ya. Memang perit sekali.
Tetapi kala engkau menghadap laut ini, engkau rasa puas hati diaturkan sebegini.
Engkau telah belajar, menjadi hamba yang lebih sejati.
“Ini pengajaran berharga dalam hidupku, dan aku berterima kasih kerana Engkau meletakkan aku untuk melaluinya, Wahai Tuhanku.”

********

Semua jemputan sudah pulang. Kemas-kemas pun sudah selesai. Sesi ta’aruf bersama keluarga juga telah usai. Abah dan Ummi sudah masuk ke bilik. Adik-adikmu semua sudah tertidur kepenatan di ruang tamu. Sepupu-sepapat, saudara-mara, sudah pulang.
Tinggal engkau dengan dia sahaja kini, berduaan. Di atas katil yang dihias indah itu, engkau duduk dengan Raihanah berada di sebelahmu.
Majlis berjalan lancar. Walau engkau tidak senang dengan kehadiran Sang Kakak yang tidak pernah hendak menyelesaikan masalahnya denganmu, engkau sekadar mencari wajah Raihanah, biar kekuatan muncul di dalam kalbu.
Lain tatkala orang yang dicintai selama ini dari jauh, kini boleh dipegang sentuh.
Bahagia. Entah apa perkataan lain yang boleh menggantikan perkataan itu, untuk mendefinisikan apa yang dirasa.
“Ehem.” Raihanah di sebelah berdehem kecil, mengeluarkan engkau dari lamunan.
“Ah, ya Cik Raihanah?” Engkau mengangkat sebelah kening, bertanya.
“Kita nak buat apa ni?” Engkau dapat melihat wajahnya tertunduk. Merah pipinya.
Malam pertama. Orang buat apa yang orang buat pada malam pertama. Engkau pegang tangannya.
“Awak, bolehkah kita bercinta dahulu?”
“Eh?” Raihanah mengangkat wajahnya terkejut.
Engkau hanya menggaris senyum. Sebenarnya, engkau juga kekok. Engkau tidak biasa sebegini. Engkau bergaul dengan ramai perempuan, tetapi bukan tanpa batas sebegini. Ini adalah perempuan pertama halal buatmu, dan engkau rasa segan sendiri.
Engkau hanya memberanikan diri.
“Kita tidak pernah bercinta kan? Sekurang-kurangnya, awak tak pernah mencintai saya sebelum ini. Bolehkah kita bercinta dahulu?”
“Ini ke sebab awak tak cium saya langsung hari ini macam pengantin-pengantin lain buat?”
“Saya hanya mahu mencium perempuan yang mencintai saya.”
Engkau lihat dia memuncungkan bibirnya dan berpaling. “Alah, perempuan macam itu kan ramai di luar sana. Carilah mereka.”
Engkau gerakkan tanganmu, menyentuh dagunya, menarik wajahnya semula kepadamu.
“Dengan syarat, saya mencintainya juga.” Engkau angkat kening dua kali. Nakal.
“Jahat!” Terus dadamu ditumbuk perlahan.
Engkau tertawa. Siapa sangka waktu ini akan hadir?
Suasana bilik menjadi sepi seketika.
“Awak, sesiapa pun yang melihat apa yang awak lalui dan bagaimana awak melaluinya, akan jatuh cinta dengan awak.” Ketika ini, engkau yang terkejut apabila tangan lembut itu menyentuh kulitmu, dan bibirnya mengucup pipimu.
Kemudian dia terus merangkulmu erat. Matamu sudah bergenang.
“Dan oleh kerana saya sahaja yang lihat semua itu, maka saya sahaja yang mampu jatuh cinta kepada awak, Ridhwan.” Lebih erat.
“Saya cintakan awak.” Raihanah mengulang.
Dan air matamu mengalir ketika itu juga.
“Saya telah lama mencintai awak, Raihanah.”
Dan kalian bermesra secara halal pada malam yang indah itu. Di bawah lembayung rahmat dan kasih Tuhanmu.
************
Engkau satu ketika di tengah kepahitan ini pernah menjerit ke langit kerana rasa terseksa. Mengapa Engkau susun hidupku begini? Begitu engkau memarahi Ilahi. Hilang seketika segala percaya yang pernah engkau bina. Kerana kecewa. Kerana berputus asa. Kerana jiwamu retak sejuta.
Engkau yang bersusah payah membina kerjaya.
Engkau yang selama ini berdikari seorang diri.
Engkau yang selama ini mempersiapkan diri.
Bukan ada sesiapa yang memerhati dan menyelami.
Akhirnya diberikan jalan cinta sedemikian perit, siapakah yang tidak patah hati?
Lebih baik bercouple, engkau pernah kata.
Lebih baik mengorat anak orang, engkau pernah kata.
Tetapi pada saat ini wahai Ridhwan,
Aku ingin bertanya,
Apakah yang engkau rasa?
“Seakan segala perit itu, tidak pernah aku lalui.” Itulah jawapan sukma.
Bukankah engkau rasa beruntung memilih untuk mengutip kembali jiwamu yang retak sejuta itu? Bukankah engkau rasa beruntung memilih jalan ini dan menyambung kepercayaanmu?
Sesungguhnya inilah dia pengajaran daripada Tuhanmu.

Tuesday, 8 November 2011

cerpen


Yang Pergi Itu "Jantung Hatiku"
« on: 26 October, 2010, 09:34:04 AM »
Assalammualaikum.
Tak tahu la saya betul atau tak tempat postkan cerita ni. Kalau salah harap maaf. Dapat dari email yang telah diforward...


------------------------------------

Jam direnung, "arghhhhh 3.17 minit pg!..kenapa susah sangat nak lelap ni." Ku cuba untuk pejamkan mata berkali-kali tapi hampa, malah mataku masih mampu dibuka seluas-luasnya.

Kenangan lampau diimbas, teringat diwaktu-waktu begini suatu masa dahulu, "kringg..kringg..kring.." panggilan ku sahut dalam keadaan sedar tidak sedar "sina..ayah lapar.." ku menjawab "arrr..ok" dalam keadaan mamai dan malas ku bangkit, masakan tidak, diwaktu sebegini orang lain enak dibuai mimpi kita dikejut. Bergerak perlahan membuka pintu lantas menuju ke bilik ayah.

Ku lihat ayah sedang terbaring sambil menggosok-gosok dadanya yang mungkin dalam keadaan tidak selesa. Lembut ayah menyapa "ayah mintak maaf kejutkan sina..ayah lapar" aku kaget menerima sapaan berbentuk kemaafan begitu. "Tersentuh" hanya itu ungkapan yang dapat ku gambarkan perasaan ku ketika itu. Lantas ku menjawab ringkas"takpa" tanpa disedari air mata mula bergenang sambil membancuh susu untuk ayahku. Selesai membancuh, ku bangunkan ayahku yang tadinya terbaring lantas ku hulurkan susu yang siap dibancuh tadi. Teguk demi teguk air itu sampai ke titisan akhir. Ayah menyerahkan semula gelas itu kepada ku. Ku bantu ayah untuk kembali baring. Seperti kebiasaanya, selepas minum, akan ku sapukan sedikit veselin ke bibir ayahku yang sudah kering itu, lantas ku bangun dan bergerak terus kebilik tidur untuk menyambung tidurku.

------------------------------------------

"..huhhhhh.." air mata mula bergenang. Ku terus mengimbas kenangan lalu...

Teringat suatu masa, saat saudara-mara ku berkumpul dirumahku untuk melihat keadaan ayahku, sedikit sebanyak menghilangkan kebosanan dirumah. Hampir setahun kami tidak kemana-mana atau lebih jelas tidak keluar dari daerah atas faktor kesihatan ayah yang makin teruk. Saat itu tidak pernah terlintas untuk cuba memahami keadaan ayah tapi tidaklah merungut atau membuat perangai, cuma simpan dalam hati. Benar kata pepatah "berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul". Ku tidak pernah melihat ayahku seperti seorang yang menderita sakit cancer paru-paru, mungkin kerna ayahku seorang yang kuat, sangat kuat melawan sakitnya sehinggakan pernah terdetik dihatiku yang ayahku tidak sakit. Ku berfikiran sakit yang kadang-kadang itu hanya dibuat-buat.


"MasyaAllah..." terdetik dihatiku betapa tidak berperikemanusiaanya aku terhadap ayah sendiri. Bila diimbas kembali, saat saudaramara bertandang, aku 100% melupakan ayahku yang sedang terbaring didalam bilik, yang tak mampu lagi bangun. Aku sibuk melayan tetamu, sibuk bersuka ria dengan mereka sampaikan tak terlintas langsung unutk melihat keadaan ayah ketika saat itu. "MasyaAllah berdosanya aku"

Ku terus hanyut dengan bayangan masa silam....

Sampai satu masa, ayahku dibawa ke hospital, dimasukkan air melalui saluran tiub. "MasyaAllah kuatnya ayahku saat itu" berkata ku dalam hati. Walau berada dihospital, dia masih kuat seperti tiada apa yang berlaku padanya. Seperti itu hanya satu rawatan biasa. Ayahku dimasukkan ke wad. Air glukos bertukar botol demi botol, selaps itu bergilir pula dengan memasukkan darah. Ayah ku terpaksa ditahan diwad tapi pada pukul 1 pagi, ayahku yang ditemani adikku menefon umiku menyatakan hasratnya yang ingin pulang ke rumah. Atas rasa bimbang sesuatu akan blaku, umi ku ringankan juga diri untuk mengambil ayahku dihospital ditemani kakakku. Sedangkan aku, aku dirumah enak dibuai mimpi."Allahuakbar.."...

Esokkannya aku diberitahu bahawa ayahku jatuh ketika ingin masuk ke dalam rumah tapi dia gagahkan juga untuk bangun. Aku duduk disamping ayah ku pagi itu, bila nampak ayahku mula terlelap, aku bersiap untuk pergi kerja tapi selepas bersiap kakakku meminta ku untuk mengambil cuti. Aku ambil cuti serta merta. Pada hari yang sama juga kami menerima panggilan dari pihak hospital dan diminta membawa ayahku kembali ke hospital. Kurang 24jam selepas ayahku dibawa ke hospital buat kali pertama dan kini telah dibawa kembali ke hospital dengan bantuan ambulance. Sejak hari itu ayahku terus ditahan di hospital.

"MasyaAllah..Ya Allah ampunkan dosaku Ya Allah.."

Aku seperti tidak percaya dengan kenyataan yang harus aku terima. Teresak-esak aku didalam kereta meratapi pemergian ayah tercinta. Ya! semuanya sekelip mata. Malam sebelum ayah menghembuskan nafas terakhir kami masih boleh bergurau. Malam itu ku pegang tangan ayah sambil membaca surah Yasin, ku kucup dahi ayah dua kali sebelum bgerak pulang ke rumah. Kini Ayah tiada lagi, dia menghembuskan nafas terakhir selepas seminggu di tahan di wad.

Dan kini, ku rindukan saat-saat ku dikejutkan awal pagi, saat-saat telefon ku berdering diantara 3-5pagi.

Kedengaran azan Subuh berkumandang..Ku lihat jam "..urmm..5.50pagi.." ku tarik nafas dalam-dalam menahan esakan. Walau ku tuliskan 1001 cerita tentang Ayah, walau ku tuliskan 1001 kesalahanku, kekesalanku, yang pasti, yang pergi tetap pergi dan takkan pernah kembali. Kehilanganya mengajarku erti menghargai..

Ku lantas bangun dan berwudhuk. Ku bertangkan sejadah dan khusyuk....Moga kesalahan yang menimbulkan kekesalan semalam takkan berlaku lagi dalam hidup ku hari ini, hari esok dan hari-hari akan datang.

Berikan aku petunjuk-Mu Ya Allah, tunjukkan aku jalan yang lurus....

Monday, 31 October 2011

[Cerpen] Saya Sudah Bertunang

Hari-hari berlalu yang dilewati seakan sudah bertahun lamanya, namun yang perlu diakui ialah ianya baru beberapa minggu lalu. Iya, hanya beberapa minggu lalu. Berita itu aku sambut dengan hati yang diusahakan untuk berlapang dada. Benar, aku berusaha berlapang dada. Terkadang, terasa nusrah Ilahi begitu hampir saat kita benar-benar berada di tepi tebing, tunggu saat untuk menjunam jatuh ke dalam gaung. Maha Suci Allah yang mengangkat aku, meletakkan aku kembali di jalan tarbiyyah dan terus memimpin untukku melangkah dengan tabah. Aku hanya seorang Insyirah. Tiada kelebihan yang teristimewa, tidak juga punya apa-apa yang begitu menonjol. Jalan ku juga dua kaki, lihat ku juga menggunakan mata, sama seperti manusia lain yang menumpang di bumi Allah ini. Aku tidak buta, tidak juga tuli mahupun bisu. Aku bisa melihat dengan sepasang mata pinjaman Allah, aku bisa mendengar dengan sepasang telinga pinjaman Allah juga aku bisa bercakap dengan lidahku yang lembut tidak bertulang. Sama seperti manusia lain. Aku bukan seperti bondanya Syeikh Qadir al-Jailani, aku juga tidak sehebat srikandi Sayyidah Khadijah dalam berbakti, aku bukan sebaik Sayyidah Fatimah yang setia menjadi pengiring ayahanda dalam setiap langkah perjuangan memartabatkan Islam. Aku hanya seorang Insyirah yang sedang mengembara di bumi Tuhan, jalanku kelak juga sama... Negeri Barzakh, insya Allah. Destinasi aku juga sama seperti kalian, Negeri Abadi. Tiada keraguan dalam perkara ini. Sejak dari hari istimewa tersebut, ramai sahabiah yang memuji wajahku berseri dan mereka yakin benar aku sudah dikhitbah apabila melihat kedua tangan ku memakai cincin di jari manis. Aku hanya tersenyum, tidak mengiyakan dan tidak pula menidakkan. Diam ku bukan membuka pintu-pintu soalan yang maha banyak, tetapi diam ku kerana aku belum mampu memperkenalkan insan itu. Sehingga kini, aku tetap setia dalam penantian. Ibu bertanyakan soalan yang sewajarnya aku jawab dengan penuh tatasusila. "Hari menikah nanti nak pakai baju warna apa?" Aku menjawab tenang.. "Warna putih, bersih..." "Alhamdulillah, ibu akan usahakan dalam tempoh terdekat." "Ibu, 4 meter sudah cukup untuk sepasang jubah. Jangan berlebihan." Ibu angguk perlahan. Beberapa hari ini, aku menyelak satu per satu... helaian demi helaian naskhah yang begitu menyentuh nubari aku sebagai hamba Allah. Malam Pertama... Sukar sekali aku ungkapkan perasaan yang bersarang, mahu saja aku menangis semahunya tetapi sudah aku ikrarkan, biarlah Allah juga yang menetapkan tarikhnya kerana aku akan sabar menanti hari bahagia tersebut. Mudah-mudahan aku terus melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Mudah-mudahan ya Allah. Sejak hari pertunangan itu, aku semakin banyak mengulang al-Quran. Aku mahu sebelum tibanya hari yang aku nantikan itu, aku sudah khatam al-Quran, setidak-tidaknya nanti hatiku akan tenang dengan kalamullah yang sudah meresap ke dalam darah yang mengalir dalam tubuh. Mudah-mudahan aku tenang... As-Syifa' aku adalah al-Quran, yang setia menemani dalam resah aku menanti. Benar, aku sedang memujuk gelora hati. Mahu pecah jantung menanti detik pernikahan tersebut, begini rasanya orang-orang yang mendahului. "Kak Insyirah, siapa tunang akak? Mesti hebat orangnya. Kacak tak?" Aku tersenyum, mengulum sendiri setiap rasa yang singgah. Maaf, aku masih mahu merahsiakan tentang perkara itu. Cukup mereka membuat penilaian sendiri bahawa aku sudah bertunang, kebenarannya itu antara aku dan keluarga. "Insya Allah, 'dia' tiada rupa tetapi sangat mendekatkan akak dengan Allah. Itu yang paling utama." Berita itu juga buat beberapa orang menjauhkan diri dariku. Kata mereka, aku senyapkan sesuatu yang perlu diraikan. Aku tersenyum lagi. "Jangan lupa jemput ana di hari menikahnya, jangan lupa!" Aku hanya tersenyum entah sekian kalinya. Apa yang mampu aku zahirkan ialah senyuman dan terus tersenyum. Mereka mengandai aku sedang berbahagia apabila sudah dikhitbahkan dengan 'dia' yang mendekatkan aku dengan Allah. Sahabiah juga merasa kehilangan ku apabila setiap waktu terluang aku habiskan masa dengan as-Syifa' ku al-Quran, tidak lain kerana aku mahu kalamullah meresap dalam darahku, agar ketenangan akan menyelinap dalam setiap derap nafas ku menanti hari itu. "Bila enti menikah?" Aku tiada jawapan khusus. "Insya Allah, tiba waktunya nanti enti akan tahu..." Aku masih menyimpan tarikh keramat itu, bukan aku sengaja tetapi memang benar aku sendiri tidak tahu bila tarikhnya. "Jemput ana tau!" Khalilah tersenyum megah. "Kalau enti tak datang pun ana tak berkecil hati, doakan ana banyak-banyak!" Itu saja pesanku. Aku juga tidak tahu di mana mahu melangsungkan pernikahan ku, aduh semuanya menjadi tanda tanya sendiri. Diam dan terus berdiam membuatkan ramai insan berkecil hati. "Insya Allah, kalian PASTI akan tahu bila sampai waktunya nanti..." Rahsia ku adalah rahsia Allah, kerana itu aku tidak mampu memberikan tarikhnya. Cuma, hanya termampu aku menyiapkan diri sebaiknya. Untung aku dilamar dan dikhitbah dahulu tanpa menikah secara terkejut seperti orang lain. Semuanya aku sedaya upaya siapkan, baju menikahnya, dan aku katakan sekali lagi kepada ibu... "Usah berlebihan ya..." Ibu angguk perlahan dan terus berlalu, hilang dari pandangan mata. "Insyirah, jom makan!" Aku tersenyum lagi... Akhir-akhir ini aku begitu pemurah dengan senyuman. "Tafaddal, ana puasa." Sahabiah juga semakin galak mengusik. "Wah, Insyirah diet ya. Maklumlah hari bahagia dah dekat... Tarikhnya tak tetap lagi ke?" "Bukan diet, mahu mengosongkan perut. Maaf, tarikhnya belum ditetapkan lagi." Sehingga kini, aku tidak tahu bila tarikhnya yang pasti. Maafkan aku sahabat, bersabarlah menanti hari tersebut. Aku juga menanti dengan penuh debaran, moga aku bersedia untuk hari pernikahan tersebut dan terus mengecap bahagia sepanjang alam berumahtangga kelak. Doakan aku, itu sahaja. ....................................... "innalillahi wainna ilaihi rajiun..." "Tenangnya... Subhanallah. Allahuakbar." "Ya Allah, tenangnya..." "Moga Allah memberkatinya...." Allah, itu suara sahabat-sahabat ku, teman-teman seperjuangan aku pada ibu. Akhirnya, aku selamat dinikahkan setelah sabar dalam penantian. Sahabiah ramai yang datang di majlis walimah walaupun aku tidak menjemput sendiri. Akhirnya, mereka ketahui sosok 'dia' yang mendekatkan aku kepada Allah. Akhirnya, mereka kenali sosok 'dia' yang aku rahsiakan dari pengetahuan umum. Akhirnya, mereka sama-sama mengambil 'ibrah dari sosok 'dia' yang mengkhitbah ku. Dalam sedar tidak sedar... Hampir setiap malam sebelum menjelang hari pernikahan ku... Sentiasa ada suara sayu yang menangis sendu di hening malam, dalam sujud, dalam rafa'nya pada Rabbi, dalam sembahnya pada Ilahi. Sayup-sayup hatinya merintih. Air matanya mengalir deras, hanya Tuhan yang tahu. "Ya Allah, telah Engkau tunangkan aku tidak lain dengan 'dia' yang mendekatkan dengan Engkau. Yang menyedarkan aku untuk selalu berpuasa, yang menyedarkan aku tentang dunia sementara, yang menyedarkan aku tentang alam akhirat. Engkau satukan kami dalam majlis yang Engkau redhai, aku hamba Mu yang tak punya apa-apa selain Engkau sebagai sandaran harapan. Engkau maha mengetahui apa yang tidak aku ketahui..." Akhirnya, Khalilah bertanya kepada ibu beberapa minggu kemudian... "Insyirah bertunang dengan siapa, mak cik?" Ibu tenang menjawab... "Dengan kematian wahai anakku. Kanser tulang yang mulanya hanya pada tulang belakang sudah merebak dengan cepat pada tangan, kaki juga otaknya. Kata doktor, Insyirah hanya punya beberapa minggu sahaja sebelum kansernya membunuh." "Allahuakbar..." Terduduk Khalilah mendengar, air matanya tak mampu ditahan. "Buku yang sering dibacanya itu, malam pertama..." Ibu angguk, tersenyum lembut... "Ini nak, bukunya." Senaskah buku bertukar tangan, karangan Dr 'Aidh Abdullah al-Qarni tertera tajuk 'Malam Pertama di Alam Kubur'. "Ya Allah, patut la Insyirah selalu menangis... Khalilah tak tahu mak cik." "Dan sejak dari hari 'khitbah' tersebut, selalu Insyirah mahu berpuasa. Katanya mahu mengosongkan perut, mudah untuk dimandikan..." Khalilah masih kaku. Tiada suara yang terlontar. Matanya basah menatap kalam dari diari Insyirah yang diberikan oleh ibu. "Satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku di risik oleh MAUT. Dan satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku sudah bertunang dengan MAUT. Dan aku akan sabar menanti tarikhnya dengan mendekatkan diri ku kepada ALLAH. Aku tahu ibu akan tenang menghadapinya, kerana ibuku bernama Ummu Sulaim, baginya anak adalah pinjaman dari ALLAH yang perlu dipulangkan apabila ALLAH meminta. Dan ibu mengambil 'ibrah bukan dari namanya (Ummu Sulaim) malah akhlaqnya sekali. Ummu Sulaim, seteguh dan setabah hati seorang ibu." ** Cukuplah kematian itu mengingatkan kita... Cukuplah kita sedar kita akan berpisah dengan segala nikmat dunia. Cukuplah kita sedar bahawa ada hari yang lebih kekal, oleh itu sentiasalah berwaspada. Bimbang menikah tergesa-gesa, tahu-tahu sudah disanding dan diarak seluruh kampung walau hanya dengan sehelai kain putih tak berharga.** ~ Kullu nafsin za'iqatul maut ~ Insyirah Soleha, 19 Januari 2010 Baiti

0

Saturday, 25 June 2011

Cerpen: Kau Harus Ada.

by : hilal asyraf


Cerpen ini adalah salah satu daripada cerpen di dalam Kumpulan Cerpen Matahari. Sudahkah anda mendapatkannya?
Cerpen “Kau Harus Ada”
Dapat idea tak fasal-fasal.
Enjoy it!
:-)
(Edited version from 240311. Enjoy! -^__^- )
Cerpen: Kau Harus Ada.

“Awak, bangun awak.”
Suara itu menembusi kegelapan. Menarik aku dari kelamnya lena. Perlahan-lahan kubuka mata. Cahaya masuk, dan siling menjadi persembahan pertama.
“Urgh,” Aku mengesat mata, yang kurasa masih tidak hilang kantuknya. Terpisat-pisat. Berkelip beberapa kali.
“Mengantuk lagi?” Suara lembut itu menyapa lagi.
Aku menggeleng. Kemudian perlahan-lahan menumpukan pandanganku kepada yang bersuara.
Dia sedang memandangku dengan perihatin. Dan tiadalah wajahnya itu, melainkan menjemput senyuman hadir pada bibirku.
“Alhamdulillah,” Aku mengucap perlahan. Benar-benar rasa bersyukur dihidupkan. Dan amat bersyukur kerana Allah mewujudkan dia di sisi.
Dia turut tersenyum mekar.
“Ada setengah jam lagi sebelum Subuh. Sempatlah kalau nak qiamullail.” Telapak tangannya menyentuh pipiku. Aku mengangguk faham. Kemudian dia perlahan-lahan turun dari katil.
Aku menolak katil untuk menukar posisi, dari berbaring kepada duduk bersila. Sekadar memandang dia yang berjalan menjauhi katil, kemudian menghilang di balik bilik air.
Senyumanku belum pudar.
Puas hati bangunku hari ini. Seperti juga hari-hari sebelumnya semenjak wujudnya dia. Hatiku lapang. Jiwaku kembang. Bahagia. Dan bahagia ini, sukar sungguh untuk terluput, semenjak hadirnya dia.
Sebentar aku jadi teringat hari-hari lalu. Hari-hari yang sunyi itu. Hari-hari yang perit itu. Hari-hari yang penuh derita dan disulami pelbagai cabaran yang menduga. Bukanlah kini semua itu telah pergi. Tetapi seakan-akan semuanya menjadi ringan dan aku menjadi lebih kuat untuk menempuhnya.
Aku menunduk dengan senyumanku, menggeleng sendiri.
Benar sangkaanku, dia harus ada.
“Alhamdulillah ya Rabb, Alhamdulillah.” Dan syukurku bukan sekadar kata. Segera aku bangun, menuju ke bilik air di luar kamar. Membersihkan diri, siap mengambil peluang qiam yang masih berbaki. Biar syukurku wujud dalam amalan juga.

******

Suasana halaman yang indah mengisi keadaan. Angin pagi sepoi-sepoi bahasa dengan hawa yang sederhana membuatkan diri terasa damai. Antara kegemaran kami berdua, sarapan di halaman rumah kala hening pagi sebelum aku pergi mencari rezeki.
“Apa senyum-senyum?” Tiba-tiba suaranya mengoyak lamunanku.
Aku mengangkat kening. Tanda tanya. Tak faham mengapa aku ditanya.
“Ya la, ada apa-apa ke? Atau muka saya ada masalah?” Dia mengesat pipi dengan belakang tangan yang sedang memegang garfu.
Aku tertawa. “Mana ada apa-apa pada muka awak. Saya sahaja nak senyum. Tak boleh?”
Dia tersenyum sama. “Senyum tak mengapa. Tapi senyum sambil tenung saya lama-lama tu yang buat saya tertanya-tanya. Tak sedap ke Mee Goreng saya masak?”
The Best in The World. Sama level dengan Ummi dan Ibu masak.”
“Habis tu, senyum-senyum kenapa?”
Aku dengan senyuman yang tidak lekang, menggeleng senang.
“Senyum, sebab awak ada di hadapan saya, sarapan dengan saya.”
Spontan wajahnya merah. “Hish, ingatkan apa tadi.” Terus dia kembali menumpukan perhatian kepada Mee Goreng di atas pinggan.
Aku juga menyambung makan. Sengaja mengekspresikan rasa hati. Kerna aku memang benar-benar rasa beruntung dengan keberadaannya di sisi. Aku tidak dapat membayangkan betapa aku sedang melalui hari-hari ini. Hari yang aku fikir tidak akan tiba buat diri.
“Awak, sibuk tak hujung minggu ni?” Soalan itu muncul saat aku selesai dengan suapan terakhir.
“Kenapa?” Garfu dan sudu kuletakkan saling menyebelah di tengah pinggan yang licin.
“Sibuk tak?” Dia mengerutkan dahinya sedikit. Seakan hendak kujawab juga jawapannya.
“Kalau sibuk kenapa?”
“Kalau sibuk, saya tak nak lah cakap.” Dia menundukkan wajahnya, sambil garfu menolak masuk baki mee goreng ke dalam sudu, kemudian terus membawanya ke dalam mulut.
“Kalau macam itu, tak sibuklah.” Aku mengesat kawasan sekitar mulut dengan tisu, sambil kekal tersenyum. Wajahnya tidak kulepaskan. Walaupun mungkin matahari naik yang boleh kuperhatikan ketika ini indah. Kerna padaku, tiada makhluk ciptaan Allah yang lebih indah dari apa yang ada di hadapanku kini.
Dia mencemikkan muka, sambil meletakkan sudu dan garfu di atas pinggan . “Saya tak nak sampai ganggu schedule awaklah. Saya tahulah awak sibuk.”
Aku menggeleng. “I’ll manage. Apa yang awak nak cakap sebenarnya?”
“Er…” Teragak-agak. “Keluar jalan-jalan jom?” Wajahnya seakan amat berhati-hati bila melafazkan soalan.
Tawaku muncul lagi. Geli hati melihat wajahnya. Dan tersentuh dengan ajakannya. Aku faham maksud ajakan itu.
“Ada kerja sebenarnya…”
Wajah cerianya hilang sebentar. Aku sudah agak.
“…Tetapi i’ll try to finish it before this weekend. So that we can go jalan-jalan. Dan…” Aku tepat memandangnya. Masih tidak melepaskannya. Dapat melihat yang dia sudah mula hendak tersenyum, tetapi berusaha menahannya.
“Dan…?” Senyumannya seakan terpecah sedikit, tetapi masih mencuba.
“Dan katalah kerja tak habis juga, still, kita akan keluar pergi jalan-jalan juga. Saya tahu, awak nak suruh saya sekali-sekala ambil angin kan?”
“Ha, tahu pun. Asyik kuat kerja sahaja. Kesian saya tengok.” Senyuman kembali menawan wajahnya.
Aku menggeleng senang melihat ulahnya. Aku tahu dia mengajakku berjalan itu bukan kerana dia yang inginkan. Tetapi kerana aku sibuk dengan timbunan kerja dan projek, hingga hampir tidak punya masa merehatkan tubuh dan minda ke mana-mana.
Aku bangun. Perlu segera untuk ke tempat kerja.
I’ll pick the place, boleh?” Pertanyaannya menyelit sebelum aku berdiri sempurna.
“Baik sayang. Saya setuju. You pick the place, okay?”
Dia mengangguk perlahan.
Segera kujinjit briefcase di tepi kerusi kayu tempat dudukku, kemudian perlahan-lahan bergerak ke arah kereta yang enjinnya telah siap kuhidupkan sebelum sarapan tadi. Aku memang telah siap dengan pakaian kerja setiap kali bersarapan pada hari-hari biasa. Memudahkan pergerakan dan menjimatkan masa.
“Awak,” Suaranya kedengaran, membuatkan aku menoleh.
Segera dicapainya tanganku, dan menundukkan kepala menciumnya.
Kembang jiwa. Perasaan ini, setiap kali hendak bekerja, seakan-akan pembekal kekuatan yang berganda-ganda. Subhanallah. Sungguh, aku amat-amat menghargai perasaan ini. Kalaulah perasaan ini satu makhluk yang boleh kupegang, pasti kusimpan di dalam balang. Kalaulah perasaan ini sesuatu yang boleh dipandang, sudah pasti kurakam biar boleh selalu diulang tayang.
Take care. Jumpa nanti petang.” Aku menyentuh pipinya lembut dengan telapak tanganku.
“InsyaAllah, awak take care juga.” Matanya mendamai jiwa.
“InsyaAllah.” Sambil masuk ke kereta.
Dengan lafaz bismillah, aku memutarkan stereng dan menekan pedal minyak, menggerakkan keretaku separuh bulatan mengikut ruang yang ada di hadapan rumahku, sebelum bergerak lurus keluar dari halaman rumah.
Sempat aku melihat cermin pandang belakang.
Dia melambai.
Aku tersenyum senang.

******

Bunyi alat penghawa dingin ruang tamu menyulam suaraku membaca Al-Quran. Sambil bersandar pada sofa, tidak jauh dari tempat solatku tadi, aku memegang Al-Quran sederhana besar dengan tangan kanan.
Senggang masa antara Maghrib dan Isya’, kuisi dengan rutinan harian. 10 muka surat paling kurang, sehari. Itu aku disiplinkan buat diri ini. Antara makanan jiwa yang baik adalah Kalamullah sendiri. Membaca Al-Quran, sambil mentadabburnya, akan membuatkan jiwa dekat dengan Allah SWT dan menyedari kebesaranNya, keberadaanNya, kasih sayangNya, dan kecintaanNya.
Tambahan, aku perlu menjaga seseorang sekarang. Bukan semata-mata diriku lagi. Maka Al-Quran adalah antara sumber tenaga wajib yang mesti aku ambil untuk mengisi kekuatanku setiap hari.
Perlahan-lahan, sambil mulut masih mengalunkan Surah At-Taubah kegemaranku, mataku melirik ke arah dia yang khusyuk membaca Al-Quran di tempat solatnya tadi.
Tiba-tiba dia bangun, bergerak mendekatiku, kemudian duduk di hadapanku.
“Awak, tasmi’ bacaan saya, boleh?” Sambil dia menghulurkan mushafnya kepadaku.
Aku melihat wajahnya, kemudian merayap kepada Al-Quran yang disuakan.
Hatiku kembang. Ini bukan pertama kali, tetapi setiap kali ini berulang, aku rasa lapang. Senang. Ketika itu juga senyumanku muncul.
“Awak ni, sikit-sikit senyum sahaja. Dari awal kahwin macam itu.” Dia mengerutkan dahi sedikit.
Senyumanku melebar. Sebelah tangan menutup mushaf yang ada padaku, sambil sebelah lagi menyambut Al-Quran di tangannya.
“Senang hati, kita senyumlah.” Aku menjawab dengan senyuman yang masih berbunga.
“Ya? Ke awak ada nampak apa-apa yang tak kena pada saya? Dari awal-awal lagi saya sebenarnya tertanya-tanya.” Dia berwajah penuh persoalan. Senyuman pada bibirnya beriak mencungkil jawapan.
Itu hanya membuatkan senyumanku memekar.
“Saya senyum, sebab saya nampak awak ada depan saya la.”
“Itu jawapan ke?”
“Ha, sekarang ni nak cungkil rahsia, atau nak saya tasmi’ hafazan awak?”
“Yalah, dia tak nak kongsi dengan kita. Simpanlah rahsia awak tu. Ha, tasmi’ ya? Hafazan plustajwid sekali tau. Check betul-betul.” Dia mendekatkan diri
“Baik, sayang.”
Suaranya mengambil alih ruang, bersulaman dengan bunyi penghawa dingin. Surah An-Nisa’ kedengaran menggetarkan gegendang telinga.
Aku menikmatinya. Dan rasa nikmat mendengar suara orang yang tercinta mengalunkan ayat-ayat Allah SWT itu membuatkan aku menutup mataku. Tidak menjadi masalah untuk memeriksa apa yang dibaca, memandangkan aku juga menghafalnya.
Sekali-sekala dia tersilap ayat, aku menegurnya. Adakala tajwidnya kurang tepat, aku membetulkannya.
Suasana ini, menyenangkan. Suasana ini, membahagiakan. Suasana ini, amat mengasyikkan.
Hinggalah dia menamatkan bacaannya. Aku membuka mataku semula. Memandang dia di hadapanku. Kalau bukan kerana aku tahu aku masih di dunia, aku sudah berkata bahawa aku sedang berada di dalam syurga.
“MasyaAllah,” Aku memuji Allah SWT. Apakah yang lebih indah dari yang aku sedang lalui ini?
“Banyak salahlah.” Dia bernada seperti kurang berpuas hati, sebelah tangan menggaru kepalanya yang aku yakin tidaklah gatal, sambil sebelah lagi mengambil semula mushafnya.
Still good lah. Boleh baiki dari masa ke semasa, insyaAllah.”
“Takut awak bosan tasmi’ saya selalu. Banyak salah, mesti bosan.”
Aku menggeleng. “Mana ada. Mana boleh bosan? Hidup kat dunia sekejap sahaja, kalau saya bosan dengan awak, habislah.”
“Kenapa? Apa kaitan dengan duduk dekat dunia?” Wajahnya kehairanan.
“Yalah. Sebab saya nak awak duduk dengan saya di syurga. Syurga selama-lamanya. Kalau di dunia yang sementara lagi sekejap ini saya dah bosan dengan awak, macam mana saya nak hidup selama-lamanya dengan awak di syurga?”
Ketika itu juga tawa kecilnya pecah. Tawanya kedengaran tulus muncul dari hati yang teramat senang. Segera diangkat tangannya yang tidak memegang mushaf untuk menutup sebahagian mulutnya. Adab orang yang ketawa agar nampak sopan.
Dan aku amat senang melihat kesenangannya. Ya Allah, kekalkanlah yang ini.
“Untunglah saya dapat suami macam awak.” Tangannya yang menutup mulut itu bergerak menepuk bahuku.
Aku menundukkan kepala sambil terus tersenyum. Tak berkata apa-apa. Tetapi di dalam hati, aku berbicara sendiri: “Saya yang untung, dapat isteri macam awak.”
“Awak,”
Aku mengangkat kepala memandangnya semula. Senyuman kini menggantikan tawanya tadi.
“Terima kasih sebab sudi tasmi’ saya.” Lembut dia bersuara.
“Sama-sama kasih. Esok, awak tasmi’ saya pula ya?” Aku angkat kening sebelah, seakan menggesanya berjanji.
Dia tersenyum, mengangguk. “Promise.”
Senyumanku jadi tidak pudar. Puas hati. Dengan nikmat tidak terhingga yang Allah berikan ini.
Dia harus ada.
Semestinya.

******
Aku memandang skrin 43 inci desktopku yang melekat pada dinding. Pelbagai kertas kerja tersusun di atas meja. Jari jemari mengetuk irama yang tidak berseni. Sepenuh tumpuan kukerah. Minda  kuperah.
Come on, come on. Di dalam hati aku menggesa biar idea berbuah.
Aku adalah seorang CEO. CEO kepada syarikatku sendiri. Syarikat Awan Keimanan Sdn Bhd. Walaupun usiaku baru sahaja menjejak 23 tahun, Syarikat Awan Keimanan Sdn Bhd telah menjadi antara syarikat yang terkenal di Malaysia.
Menjejak umur 18 tahun, aku memulakan satu projek penulisan di alam maya. Lama-kelamaan, penulisanku diikuti ramai. Hingga akhirnya, ada syarikat penerbitan yang singgah dan menawarkan aku menjadi penulis. Dari situ, lebih ramai orang mula mengenaliku.
Aku tidak menerima semua itu begitu sahaja. Aku yang sememangnya bercita-cita besar semenjak kecil, melihat bahawa itu adalah peluang yang Allah SWT supaya aku bergerak lebih jauh lagi dalam menyebar luas agamaNya. Maka terus aku merangka sebuah rancangan.
Aku terus merangka satu projek jangka panjang. Cita-citaku adalah, aku mahu mempunyai sebuah syarikat yang besar, yang menguruskan hal-hal konsultansi, memprodus majalah islami, novel-novel islami, buku-buku motivasi islami, komik-komik islami, sekaligus merekrut penulis-penulis dan pelukis-pelukis yang mempunyai syakhsiah serta kefahaman islami. Tidak cukup dengan itu, kurangka juga agar syarikat itu mampu mempunyai kumpulan nasyid sendiri. Dan untuk satu jangka masa yang lebih panjang, aku yang ketika itu baru berusia pertengahan 18 tahun telah merangka agar semua penulis dan pelukis, termasuk penasyid di bawah syarikat itu, akan mampu menjadi ikon masyarakat, sekaligus menjadi fasilitator dalam program-program motivasi yang dijalankan syarikat.
Aku masih ingat, sekumpulan besar manusia mentertawakan aku tatkala aku meluahkan idea ini. Semuanya berkata bahawa ini adalah mimpi. Tambahan, ketika itu usiaku belum pun memasuki 20-an. Belum lagi menggerakkan semua itu, aku sudah mula mendapat tohmahan seperti berlagak, ego, dan sebagainya kerana dikatakan lemas dalam populariti sendiri.
Aku tidak berputus asa. Tetap berusaha menjadikan semuanya realiti yang berjalan di atas dunia. Akhirnya, pada awal umurku 19 tahun, aku berjaya mengumpulkan sekumpulan manusia untuk bergerak bersamaku. Mereka ini kugelar ‘sahabat’. Bersama mereka, aku bergerak dengan lebih efisyen, proaktif.
Mengharungi semua itu dalam keadaan aku merentas perjalanan sebagai seorang pelajar di universiti bukanlah sesuatu perkara yang mudah. Tambahan aku belajar di luar negara. Saat rakan-rakan sebayaku sibuk dengan pelbagai ‘kenakalan remaja’, aku korbankan semua itu untuk fokus pada projekku ini. Saat rakan-rakan sebayaku sibuk bercakaran isu persatuan pelajar di tempat belajarku, aku sibukkan diriku pada projekku ini. Saat rakan-rakan sebayaku rakus merantau negara-negara berdekatan tempat belajarku, aku menghabiskan cutiku menyusun atur semua projekku.
Ketika itulah dugaan demi dugaan tiba. Cabaran yang banyaknya tidak terbilang. Aku mula melihat wajah sebenar kehidupan yang hakikatnya tidak senang. Beberapa kali usahaku seakan berhadapan kegagalan. Belum dikira waktu-waktu aku dicemuh dengan pelbagai tohmahan. Ujian demi ujian. Masalah pula bukan di sekitar projekku semata-mata, bahkan di sekitar kehidupan pelajar luar negaraku jua. Ada masalah dengan ahli rumah, ada masalah untuk studi dengan baik, kadangkala ada masalah kesihatan, dan belum lagi dibilang pula masalah-masalah mengekalkan hubungan baik dengan Tuhan.
Aku menempuh semuanya sendirian.
Aku punya beberapa sahabat karib, tetapi mereka tidak mampu menjadi peringan kekal buat kehidupanku. Allah izin, mereka bukan rakan serumahku, dan bukan juga rakan seuniversitiku. Sahabat-sahabatku ini, hanya kadangkala sahaja mampu menziarahiku, meluang masa bersamaku. Saat bersama mereka, aku kuat. Semasa berjauhan daripada mereka, aku sedikit lemah.
Yalah, aku bukannya malaikat.
Dan pernah, saat ujian-ujian berat menimpa dan aku tidak tertahan dengannya, aku menangis sendirian. Derita itu tidak akan pernah kulupakan.
Tidak akan sesekali aku melupakan.
“Ya Allah, idea, idea.” Aku melekapkan dahi ke atas meja. Dahi menyentuh kertas kerja. Baru aku perasan aku telah jauh mengelamun. Teringat pula betapa terseksanya hidup pada saat itu semua.
Tiba-tiba aku terasa rambutku diramas. “Kuatnya dia kerja.” Dan suara lembut itu membuatkan aku mengangkat kepala semula, dan terus mendongak ke arah dia yang kini berada di sisiku. Senyumannya menghiasi tubir pandanganku.
“Nescafe?” Dia menghulurkan cawan dengan tangan kanan, sambil tangan kirinya kekal di rambutku.
Aku yang tadinya berkerut dahi menanti idea menghadirkan diri, ditambah dengan kenangan-kenangan pahit, tersenyum senang. Kusambut cawan itu dengan cermat, perlahan-lahan menghirupnya.
Ya Allah, seakan bebanan tadi terangkat begitu sahaja. Seakan-akan keperitan lalu itu langsung tidak pernah wujud.
“Projek baru?” Dia menyoal. Kini dia berada di belakang kerusiku. Dapat kurasa nafasnya menyentuh leherku. Walaupun mataku kini tertumpu pada skrin, aku dapat mengagak bahawa dia juga sedang memandang perkara yang sama. Aku mengangguk, sambil nescafe sekali lagi kuhirup.
“Awak ni, dari dulu lagi buat benda macam ini ya?”
“Em. Tapi dulu taklah se’havoc’ macam ini. Dulu kecil-kecilan sahaja. Sekarang betul-betul terjun jadi mainstream. Studi dah habis. So, benda ni la yang saya fokuskan habis-habisan.” Aku memberitahu.
“Yalah, siapa sangka awak boleh sampai macam hari ini. Tapi mesti ada bayarannya kan untuk capai apa yang awak capai hari ini?”
Aku mengangguk lagi. Kata-katanya membuatkan aku teringat kenanganku tadi. Baru sahaja teringat.
Kini, semua yang aku rangka itu telah menjadi realiti. Bahkan, dengan izin Allah SWT, semua itu menjadi realiti sebelum waktu yang aku jangkakan. Ada beberapa perkara tidak terjangka berlaku, mempermudahkan perjalananku. Walaupun selama ini menguruskannya di luar negara, tetapi sahabat-sahabatku yang bersama dalam projek ini menggerakkannya dengan penuh komited. Hingga apabila aku pulang, aku seakan-akan pulang untuk menuai hasilnya.
Sekarang aku tidak lagi menulis di bawah syarikat orang lain. Aku menulis di bawah syarikatku sendiri. Syarikatku menjadi penerbit buku-buku motivasi islami, novel-novel islami, komik-komik islami dan juga majalah islami. Penulis-penulis dan pelukis syarikatku terdiri daripada mereka yang amat berbakat, dan mempunyai satu matlamat yang sama denganku – ingin membawa manusia kembali menjadi hamba Allah SWT. Dan mereka ini telah menjalani kursus di bawah syarikatku, agar idea mereka lebih dinamik, terkehadapan, dan tidak sama seperti penulis kebanyakan. Wujud tamayyuz yang tersendiri, agar terbina satu arus yang amat kukuh tanpa mampu ditandingi.
Juga, kami baru sahaja mendapat kumpulan nasyid kami sendiri. Firwan namanya. Merupakan junior-junior sekolah menengahku. Mendengar pembentanganku, mereka berminat untuk menjadi kumpulan nasyid di bawah syarikatku. Kini mereka sedang meningkat naik dan diterima ramai.
Program-program motivasi di bawah syarikatku turut mendapat sambutan hangat. Aku juga telah berjaya menubuhkan Kelab Awan Keimanan, yang mempunyai ahli dalam bilangan melebihi ribuan. Angka-angka visitors di laman mayaku selama ini telah berjaya direalitikan.
Kini, aku sedang merangka projek untuk meluaskan lagi syarikatku agar mampu menembusi medan baru. Mereka filem, drama, dan animasi islami. Untuk benar-benar membumikan satu rangkaian bisnes yang didominasi oleh manusia-manusia yang mempunyai fikrah islami. Sekaligus, menyebar luas amanah Allah, dan mengislah manusia-manusia di atas muka bumi.
“Semuanya dengan izin Allah SWT. Dengan doa-doa awak juga.” Aku cuba memandangnya, tetapi leherku tidak sampai. Dia perlahan-lahan memanjangkan lehernya, biar kepalanya di sisiku. Kemudian wajah kami bertentangan, dan dia tersenyum kepadaku.
“Kita baru jumpa tahun lepas ya. Sejak bila pula doa saya boleh masuk dalam saham ni?” Dia tertawa.
Aiseh. Kantoi terlebih gula.
Ya. Kami baru bertemu. Sedang sebelum ini tidak berkenalan pun.
“Tapi still, awak ada saham juga dalam semua ini.” Senyumanku terukir juga. Teringat lagi satu peristiwa, sambil wajahku kembali menghadap skrin.
Aku menghela nafas. Ketika ini aku rasa lapang yang teramat, dan kepalaku menjadi ringan. Tiba-tiba aku seakan terlihat sesuatu. Seakan-akan penghadang yang menyekat telah terangkat. Idea tiba!
“Ha, dapat idea la tu.” Dia bersuara. Mungkin melihat reaksiku yang segera. Tetapi aku tidak sempat hendak menjawabnya. Takut ideaku hilang begitu sahaja. Segera kuletakkan cawan di atas meja. Terus menekan-nekan papan kekunci, menaip idea-idea yang baru hadir daripada Ilahi.
“Alhamdulillah.” Aku melarikan cursor pada ikon disket biru. Bila selesai semuanya, dan melakukan pemeriksaan semula agar pasti yang projek tadi sudah tersimpan kemas, aku memusingkan kerusi.
Aku dapat melihat wajahnya yang dihiasi senyuman.
“Terima kasih, awak.”
“Hihi, apalah yang nak diterima kasihkannya kepada saya ni? Saya buat nescafe je pun.”
“Terima kasih sebab awak ada di sisi saya.”
“Ala, kut la sumbangkan idea ke, baru nampak macam saya ni berhak kepada terima kasih itu.”
Aku diam dan tidak lagi menyambung kata. Hanya senyumanku sahaja yang kekal pada muka. Aku tahu, kalau aku berbicara lagi, dia hanya tidak akan mengalah untuk merendahkan diri. Di dalam hati, aku berbicara sendiri: “Tapi betul, Allah berikan idea itu bila saya teringat sesuatu yang berkaitan dengan awak.”
“So, esok jadi ya?” Tiba-tiba dia bertanya, keluar dari topik ketika.
“Jalan-jalan?” Aku meneka. Sebab esok memang harinya.
“Em.” Dia mengangguk.
“InsyaAllah. Kerja dah selesai. Betul-betul free. Awak dah pilih tempat? Di mana?”
“Aaaaa, rahsia. Esok, awak ikut sahaja. Saya drive.” Dia mengenyitkan sebelah mata.
Tawa kecilku muncul melihat ulahnya. Macam-macam.

******

Unexpected.” Terlafaz keluar daripada bibirku.
Angin mendodoi damai tubuh. Dia yang setia di sisi memaut lenganku. Bunyi ombak menghiasi suasana.
“Ummi kata, awak dulu masa kecil-kecil paling suka pergi sini. Tapi lepas pindah, Ummi dan Abah tak pernah sempat bawa awak datang sini lagi. Kemudian awak besar, masuk asrama, Ummi Abah sibuk, tambah lepas itu awak pergi overseasthen awak sibuk dengan projek itu ini, sampailah sekalipun awak tak pernah dapat datang sini.”
Ini tempat di mana Abah selalu membawaku sewaktu kecilku dahulu. Dengan motor bujangnya, Abah akan membawaku mengambil angin di pantai ini dahulu. Keadaan di sini walaupun sudah berubah banyak, tetapi masih terdapat beberapa petanda bahawa inilah tempat yang menyimpan kenangan, sebelum aku membesar menjadi aku.
“Eh, awak tak suka ke?” Tiba-tiba pertanyaan itu menyentuh gegendangku. Membuatkan aku menoleh ke arahnya. Wajahnya seakan cemas.
“Kenapa tanya macam itu?” Aku kehairanan.
“Kenapa awak menangis?” Segera tangannya naik menyentuh pipi. Baru aku perasan, ada cecair yang mula menuruni. Baru aku sedar yang pandanganku kabur. MasyaAllah.
Aku terus duduk bersila di tempat aku berdiri. Tidak kuhirau pasir pantai mengotori jeans. Dia turut sama duduk di sisi.
“Awak tahu, bila akhir waktu saya ingat bahawa saya normal?”
Dia diam. Seakan memberi ruang aku menjawab sendiri persoalan itu. Sebab dia semestinya tidak tahu.
“Ketika saya terkenangkan Abah bawa saya ke pantai ini, ambil angin dengan motor bujang dia.” Aku menjawab persoalanku tadi.
Bau pantai ini, anginnya, suasananya, semuanya membuatkan aku seperti mampu melihat semula dengan jelas suasana indah itu.
“Saat saya berhempas pulas mengharungi hidup yang penuh dugaan dan cabaran, menggalas idea-idea yang bombastik, hidup tidak seperti orang lain, rasa-rasa bahawa diri itu amat terasing daripada kebiasaan orang lain, saya akan teringat suasana di tempat ini ketika Abah bawa saya ke mari dengan motor.”
“Jadi, sekarang awak terubat bila saya bawa ke mari?” Dia bertanya.
Aku menggeleng. Dan senyuman mengoyak bibir. Aku memandang dia yang berada di sisi.
“Saya sudah terselamat dari keterasingan itu, dari kelemahan itu, semenjak awak ada dalam kehidupan saya.”
Ikhlas. Jujur.
Aku pernah menyangka bahawa aku tidak akan bahagia sebenar-benarnya. Aku pernah menyangka bahawa satu waktu aku akan tewas bila kehabisan tenaga. Membawa sesuatu yang besar, hendak merealisasikan sesuatu yang semua orang kata mustahil untuk direalitikan pada usia muda, melawan arus kebiasaan dunia, dalam keadaan tidak pula ramai yang menyokong, aku fikir aku akan kehausan dan jatuh tak bermaya. Tinggal aku hanya percaya, bahawa Allah tidak akan meninggalkanku. Itu sahaja yang aku ada. Percaya. Dan aku sebenarnya menghitung hari, bilakah percayaku itu akan hilang akhirnya.
Tetapi sampai satu saat, dia muncul.
Hadir.
“Kenalkan, ini anak saya.” Doktor Umar memperkenalkan gadis manis bertudung labuh di sisinya.
                Aku terangkat kening. Kenapa pula dibawanya ke dinner ini? Aku bangkit mempersilakan mereka duduk. Menghormati. Doktor Umar adalah seorang doktor yang sering kujumpai apabila berhadapan dengan keserabutan hidupku. Aku adalah seorang yang amat menjaga diriku. Aku ada kerisauan bahawa aku akan menjadi gila sekiranya tidak betul-betul menjaga diriku dalam dugaan hidup yang menggila. Maka Doktor Umar adalah yang akan sentiasa memberikan nasihat, selain memeriksa kesihatanku.
                “Kahwinlah dengan dia.”
                Aku macam hendak tersembur air yang sedang kuhirup apabila mendengar kata-kata Doktor Umar. Serius?
                “Ubat untuk orang macam enta ni, kahwin. Tambahan, ana pun tengah cari seseorang untuk jadi suami anak ana ni. Umur muda lagi, tapi duk sibuk suruh ayah dia carikan seseorang. Nak kahwin awal.”
                Aku memandang perempuan di sisi Doktor Umar. Nama pun aku tak kenal. Kahwin?
                Perempuan itu menunduk sahaja.
                “Ana bukan nak promosi anak ana. Tapi ana rasa, dia harus ada di sisi enta. Untuk diri dia, dan untuk diri enta juga.” Doktor Umar tersenyum. “Enta pun tahu, ana kenal enta macam ayah enta kenal enta juga. Ana ayah enta juga kan?”
                Aku tersengih. Benar. Doktor Umar sangat baik denganku. Perlahan-lahan aku memandang perempuan itu semula.
                Hei, cakaplah something. Er.. takkan nak cakap camtu kut? Aku mati bicara.
                Tiba-tiba dia mengangkat wajahnya. Aku memandang betul-betul.
                “Kahwinlah dengan saya. Saya usaha buat awak bahagia, dan moga-moga Allah jadikan saya peringan beban kehidupan awak juga.” Bicaranya malu, tetapi ada keyakinan di dalam dirinya. “Ayah kenal awak dan selalu cerita fasal awak. Saya yakin, pilihan ayah tepat, insyaAllah.”
                Mataku membesar.
                MasyaAllah.
                Allahuakbar!
                Dan ekspresi wajahnya ketika itu, sampai bila-bila tidak akan mampu kulupakan.
                Dan lebih tidak mampu kulupakan adalah, perasaan hatiku ketika itu.
                “Kau harus ada di sisiku.”

Ketika itu jugalah segalanya seakan menjadi semakin ringan. Hatta makan juga bahagia. Bersembang juga bahagia. Segala-galanya bahagia. Hati sentiasa lapang. Jiwa sentiasa senang. Bahkan segala kesusahan dan kesukaran, semuanya seperti kapas yang berterbangan.
“Bila saya bangun pagi dan awak ada di sisi, saya ada perasaan yang tidak dapat digambarkan. Saya masih ingat hari-hari saya berhempas pulas mendisiplinkan diri agar menjaga Subuh dalam keadaan rakan-rakan serumah tidak berapa peduli. Awak di sisi membuatkan saya rasa selamat.”
Dia menunduk. Wajahnya mula memerah.
“Begitulah juga bila kita makan bersama, bila kita baca Al-Quran bersama, bila kita solat bersama, bila kita qiam bersama, bila kita pergi program-program bersama, saya rasa macam lebih sempurna, lebih kuat, lebih bertenaga. Saya tidak dapat gambarkan perasaan-perasaan pada semua keadaan itu. Awak seakan-akan saya punya guardian angel. Buat saya lebih bersemangat untuk tingkatkan diri, dan rasa tidak letih untuk berusaha lagi. Entahlah.” Aku meluahkan perasaan sebenarku.
Dia kembali menatap wajahku. Mata kami bertemu.
“Apatah lagi saat-saat yang saya sepatutnya tertekan dengan lambakan kerja, waktu-waktu saya tersekat daripada idea, dan awak ada di sisi, seakan-akan Allah memudahkan segala-gala. Saya macam terselamat.”
“Awak ni, lebih-lebih sangat gula ni.” Dia menyentuh kembali pipiku.
Aku memegang tangannya itu. Kemudian menggeleng perlahan.
“Sebab itu, saya sentiasa tersenyum.”
“Oh, itu jawapannya?”
Aku mengukir senyuman semanis mungkin.
“Sebab awak memang harus ada dalam kehidupan saya. Awak adalah kepingan yang menyempurnakan ‘puzzle’ kehidupan saya, yang selama ini saya tidak punya. Awak harus ada di sisi saya, berada di sebelah saya. Allah menjawab doa saya selama ini, dengan wujudnya awak di sini.”
Dia diam. Bunyi ombak mengisi suasana.
Sorry, speechless.” Dan akhirnya dia yang memecahkannya selepas beberapa ketika.
Aku tersenyum sahaja. Kemudian melepaskan pandangan ke horizon. Menikmati suasana.
By the way awak, saya ada sampaikan hadiah untuk awak sebenarnya.” Dia menyambung kata.
Aku memandangnya semula. Hadiah?
“Awak sahaja sudah cukup untuk saya. Apa perlunya hadiah? Awak hadiah terbesar Allah buat saya. Susah-susah sahaja.”
“Em, saya rasa, Allah just nak bagi awak hadiah berganda kut. Sebab hadiah yang ni pun bukan hak milik saya sebenarnya. Saya kan kata saya nak sampaikan sahaja.”
Aku mengerutkan dahi. Hadiah apa? Macam berbelit-belit pula penerangannya.
“Hadiah apa tu?”
Dia tersenyum. Perlahan-lahan tangannya membawa tanganku menyentuh perutnya.
“Saya mengandung, dua bulan.”
Mataku membesar.
“Mungkin Allah nak awak lebih bahagia dari bahagia yang awak dah rasa dengan kehadiran saya?” Dia angkat kening dua kali.
Aku segera merebahkan diri dalam posisi sujud kepada Allah SWT.
Menangis syukur.
Daripada dia, datang lagi hadiah daripadaNya.
MasyaAllah, MasyaAllah, MasyaAllah.
Ya Allah, bagaimanakah hambaMu ini mampu mendustakan nikmat-nikmatMu?
Sungguh kalau dihitung semua, tidak terkira harganya.
MasyaAllah.
******

Aku tidak pernah berada di syurga. Tetapi aku berada di dunia penuh pancaroba. Sedangkan Adam yang berada di tempat terindah ciptaan Tuhan memerlukan Hawwa, apatah lagi aku yang di tengah cabaran dunia yang menggila.
Aku tidak pernah berada di syurga. Tetapi aku berada di dunia yang penuh dengan duga. Sedangkan Adam juga gembira dan rasa sempurna tatkala Allah hadirkan untuknya Hawwa, apatah aku yang selama ini sendirian di tengah badai dunia.
Dia nyata harus ada di sisi. Kerna aku memerlukannya untuk menyempurnakan diri ini. Menemani. Buat aku terisi. Menguatkan aku.
Dan bersamaku bergerak ke arah Ilahi.