Saturday 31 March 2012

Cerpen: “Bolehkah Kita Bercinta Dahulu?”

by : hilal asyraf


Cerpen terbaru saya.
“Bolehkah Kita Bercinta Dahulu?”
Saya tidak mahu cakap banyak fasal cerpen ini.
Enjoy!
:-)

“Bolehkah Kita Bercinta Dahulu?”

Engkau sekadar terpana. Seakan-akan masa terhenti buat dirimu sahaja. Perasaan apakah ini? Engkau bertanya. Tetapi jiwa dan hati mendiamkan diri, meninggalkan engkau tanpa jawapannya.
“Abang Ridhwan, Abang Ridhwan.” Tubuhmu digoncang dan engkau sedari. Terus tertarik keluar dari lamunan, dan menoleh ke kiri. Amiruddin. Junior yang engkau kasihi, sedang memaut lenganmu bersama wajah gembira, sambil tangan kanan menunjuk kepada skrin laptop di hadapannya. Yang engkau tatapi tadi.
“Yang ini pula gambar kami masa beraya.” Ujarnya gembira.
Engkau hanya terangguk-angguk sahaja. Tetapi masih tidak dapat melarikan diri dari wajah di dalam gambar tadi, yang terwujud pada laptop yang sama. Kini kelihatan wajah itu bersama Amiruddin dan keluarga. Ya, dia mengetahui bahawa Amiruddin punya kakak. Tetapi selama ini tidak pernah dihiraukannya. Tidak pernah dia ambil tahu siapa namanya. Tidak pernah dia ingin tahu bagaimana rupanya.
Tetapi kini, engkau hingga tertusuk. Hatimu seakan diragut. Hingga engkau kembali menyoal jiwa: Apakah mungkin hatiku dicuri sekadar melihat gambar sahaja?
Mustahil!
Engkau membentak di alam jiwa.
Malam itu tidurmu tidak lena. Mengharap musafir bersama para junior tamat segera. Kerana benakmu penuh dengan rasa tidak selesa. Seakan disergah sesuatu, dan engkau tahu namanya. Tetapi engkau takut untuk mengaku, kerana namanya adalah…
Cinta.

*******

Enam bulan engkau memasung sukma. Cuba menyisihkan. Saban waktu engkau berkata: “Mustahil dengan melihat gambar sahaja, hati telah dicuri. Ini tidak lain hanya syaitan yang ingin menyesatkan diri.”
Engkau taburkan dalam dirimu pelbagai alasan. Takut hubungan dengan Amiruddin terganggu jika engkau ikutkan hasratmu ini. Engkau nyatakan juga bahawa engkau tidak kenal dia, tidak pernah berjumpa bertentang mata, tidak pernah mengetahui bagaimananya dia. Itu semua engkau suburkan agar perasaan itu mati begitu sahaja. Tetapi malang seribu kali malang, perasaan itu terus subur dan membungakan rasa buak yang tidak mampu dihalang.
Tetapi engkau masih bertahan. Menyibukkan diri. Hinggalah pada satu hari, engkau menyedari bahawa dari takdir Tuhan engkau tidak akan mampu berlari.
Engkau menyebut namanya: “Seterusnya, Puteri Raihanah Maisarah!”
Dan dia menapak ke pentas itu dengan sopan sambil menunduk malu dipandang khalayak. Engkau sendiri, yang tidak menyangka tugasan sebagai pengerusi majlis pada hari itu membawa kepada pertemuan ini, berdebar-debar melihatnya.
Hanya sesaat masa. Tetapi waktu seakan terhenti sekali lagi, seperti kala engkau melihat gambarnya. Tinggal kali ini secara realiti, dia berada di hadapanmu wahai Ridhwan hambaNya!
Indah. Bersinar. Lembut. Sederhana.
Dan pantas engkau menundukkan wajahmu semula, kerana merasakan jika tidak engkau lakukan begitu, engkau akan terbakar dengan keindahannya. Jiwamu gemuruh, dan kini engkau tidak lagi mampu memberikan alasan. Kami cintakan dia! Seakan seluruh tubuh bersuara membentakmu, dan engkau tidak mampu menentangnya.
Ya. Aku cintakan dia.
Dan engkau akhirnya hanya mampu mengakuinya.
Dia kembali turun mendapatkan keluarganya, sedang engkau hanya mampu melirik sahaja. Mindamu berputar pesat. Perancangan disusun atur.
Perjalanan cintamu kau mulakan.

*******

Suasana Plymouth sejuk dan kelam. Sudah sepenggal setengah engkau menjejakkan kaki di sini sebagai penuntut ilmu. Tetapi tiada siapa mengetahui bahawa, cita-citamu lebih daripada itu.
“Aku datang ke tanah eropah ini, untuk menuntut pengalaman, agar aku menjadi manusia.”
Itu cita-cita sebenarmu. Bukan semata-mata ingin menjadi pelajar cemerlang dalam TESL yang engkau ceburi. Bukan semata-mata ingin menjadi guru. Kerana itu engkau gandakan usahamu untuk mengekspansikan potensi suaramu.
“Menjadi penasyid yang lain dari lain. Yang bukan pandai menyanyi, tetapi mampu memimpin pendengarnya. Yang bukan sekadar memberikan halwa telinga, tetapi turut menghidupkan jiwa!”
Itu cita-citamu. Tidak pernah engkau tinggal. Kerana itu engkau rajin menulis lagu-lagu baru dan menyanyikannya. Upload di YouTube, letak di dalam blog. Masuk ke alam universiti yang tidak ada pelbagai peraturan ketat, membuatkan engkau bebas menyusun hidupmu sebagaimana yang engkau mahu. Semua itu engkau gunakan sebagai peluang, bukan semata-mata ruang.
Siapa sangka hasil usahamu, engkau telah berjaya mendapat perhatian syarikat rakaman. Lebih unik, engkau terkenal sebagai “Artis Malaysia Yang Tiada Di Malaysia” kerana tatkala album sulungmu keluar bertemu masyarakat, engkau masih di sini meneruskan kehidupan.
Sorotan lampu populariti mengejari, dan namamu mula disebut-sebut. Facebook milikmu menjadi perhatian ramai. Segala apa yang engkau catat, semuanya menjadi perbincangan.
Namun engkau masih seperti biasa. Engkau jelas bahawa populariti bukan apa yang engkau kejar. Tetapi mahu mengubah satu industri, sekaligus memimpin masyarakat kembali kepada Ilahi. Maka engkau teruskan kerjamu, langkahanmu.
Di samping niatnya untuk belajar berdikari agar tidak menyusahkan Abah dan Ummi, niat untuk mengajak manusia kembali kepada Ilahi dengan wasilah seni kekal terpahat di dalam hati.
Sedang engkau menggelamun memikirkan perjalanan hayatmu, tiba-tiba komputermu berbunyi. Engkau mendapatkannya. Rupanya Skype milikmu wujud kenalan baru minta di’approve’. Engkau lihat namanya. Ketika itu juga engkau membeliakkan mata.
Puan Aisyah Humaira’.
Bukan engkau tidak kenal siapa dia. Bonda kepada Raihanah yang engkau cinta.
“Mungkin Aisyah lain.” Engkau menyedapkan hati. Lantas engkau approve. Baru sahaja engkau hendak berlalu dari komputermu itu, deringan panggilan kedengaran. Engkau terkejut melihat paparan pada desktop. Aisyah Humaira’ is calling. Debar. Namun memandangkan engkau baru sahaja meng’approve’, mustahil engkau punya alasan untuk berkata tiada di hadapan komputer hingga tidak mengangkat panggilannya.
Maka engkau sambut panggilan itu. Headphone engkau sangkut di kepala.
“Assalamu’alaikum. Ridhwan ke ni?” Suara bonda itu menggetarkan gegendang.
“Wa’alaikumussalam. Ya, ini saya.”
“Haa, dapat pun. Ridhwan apa khabar? Ini makcik Aisyah ni.”
“Aaa, Ridhwan tahu. Ridhwan sihat alhamdulillah.”
Dan kemudian engkau bersembang dengan bonda itu berkenaan kehidupanmu di Plymouth. Engkau ceritakan suasananya yang sering kelam dan hujan kala musim sejuk. Engkau ceritakan bagaimana cerianya masyarakat di sana tatkala matahari memunculkan diri, hingga ramai keluar ke padang menikmati cahaya mentari. Engkau kongsikan juga kebanggaan masyarakat sana, The Hoe yang punya Rumah Api itu.
Bonda itu kadangkala mencelah bertanya berkenaan pengajianmu, juga tidak ketinggalan bertanya akan kerjayamu. Engkau menceritakan segalanya. Kadangkala bonda itu tertawa. Teringat dikau akan ziarah ke rumah itu sebelum berangkat ke Plymouth, untuk bertemu Amiruddin buat kesekian kalinya, juga untuk melihat suasana kehidupan keluarga itu kerana cinta yang ada di dalam jiwamu. Bahkan, Bonda itu juga membangkitkan akan ziarahmu. Buat engkau rasa sungguh rindu.
“Em, makcik ni call bukan sebab apa. Makcik dengar, Ridhwan suka dengan Raihanah. Betulkah?”
Ibarat disambar halilintar, engkau rasa mahu jatuh dari kerusimu tika itu juga. Soalan yang muncul tiba-tiba di celah kemesraan bicara. Buat engkau sangat terkejut. Hingga engkau sendiri teragak-agak untuk memberikan respon balas.
“Makcik marah?” Itu soalanmu. Soalan dibalas soalan. Kerana engkau nyata risau.
“Tak adalah. Kalau betul, lagilah makcik suka.” Bonda itu tertawa.
“Oh. Legalah dengar makcik cakap macam itu. Ya, Ridhwan suka dengan Raihanah.”
“Haa, kenapa Ridhwan tak cakap masa datang rumah tempoh hari? Kan senang kalau cakap terus.”
“Raihanah muda lagi kan, Makcik? Lagipun, Ridhwan masa itu belum ada apa-apa nak tunjukkan bukti yang Ridhwan bersedia nak ambil anak orang jadi isteri.”
“Alhamdulillah. Senang la hati makcik dengar yang Ridhwan suka pada Raihanah. Tidak mengapa. Kita senyapkan dulu daripada Raihanah. Nanti makcik perlahan-lahan tanya dia.”
“Eh makcik, tak mengapalah. Dia muda lagi kan. Rilek-rilek sahaja.” Engkau berpesan. Engkau takut lain pula jadinya nanti.
“Tidak mengapa, Ridhwan jangan risau.”
Dan sembang-sembang seterusnya berjalan tanpa menyentuh perkara itu.
Malam itu, engkau sekadar berfikir panjang. Aturan apakah ini ya Allah? Engkau bertanya kepada Tuhan empunya langit dan bumi. Semuanya seperti diaturkan olehnya. Rancangmu, semaca pulang bercuti tahun hadapan baru hendak engkau luahkan hasrat ini. Siapa sangka Sang Bonda sendiri akan menghubungimu.
“Apakah ini petanda bahawa Engkau sedang membantuku?”
Tetapi engkau tidak pernah tahu.
Maka engkau biarkan sahaja apa yang berlaku. Sambil berpesan kepada dirimu bahawa engkau perlu melipat gandakan usaha. Perlu membuktikan betapa diri ini layak untuk punya seorang isteri. Layak mencintai. Layak dicintai.
Cinta bukan satu keseronokan nafsu. Kerana engkau sentiasa percaya – Kalau benar cinta, mesti mahu bersama ke syurgaNya. Apa-apa yang melemparkan ke neraka, itu bukan cinta namanya. Engkau kekal dengan prinsip itu.
Malam itu engkau berazam, engkau akan menjadi yang lebih baik lagi daripada hari ini.
Perjalanan cinta ini mesti engkau jadikan perjalanan yang diredhai Ilahi.

*******

Engkau sendiri tidak menyangka, sesuatu yang dirasakan ‘bantuan Tuhan’, rupanya datang bersamanya 1001 dugaan.
Engkau ditolak, tanpa engkau lakukan lamaran. Satu perkara yang paling kelakar pernah engkau dengar dalam sejarah insan, tetapi berlaku kepada dirimu di luar jangkaan. Rupa-rupanya Bonda kepada Raihanah sudah bertanya akan dirimu kepadanya, tanpa engkau ketahui.
Yang engkau perolehi hanyalah panggilan daripada Makcik Aisyah itu, menyatakan Raihanah menolak, tanpa engkau pernah menyebut pun suruh melamarnya. Saat itu engkau nyata bersedih hati, dan berduka beberapa ketika. Kelam Plymouth seakan kena dengan warna jiwamu saat itu.
Tetapi engkau tetap meneruskan hidup. Dan siapa menyangka, selepas 3 bulan berlalu, engkau mendapat panggilan lagi menyatakan bahawa engkau diterima Raihanah pula. Gembira, berbaur sangsi. Sudah tolak, terima pula?
Engkau hubungi Amiruddin saat itu, untuk kepastian. Agar tiada apa yang buruk terjadi.
“Hem, kakak ana yang sulung tu marah betul. Ana takut Raihanah ni kena paksa la Abang Ridhwan.”
Dan engkau rasa tidak sedap hati. Lantas engkau hantarkan pesan kepada Makcik Aisyah, agar jangan dipaksa-paksa. Nyata engkau juga tidak suka kalau Raihanah yang kau cintai itu terluka. Tetapi Makcik Aisyah meyakinkan, penerimaan semula ini adalah pilihan Raihanah sendiri, dan engkau dinasihatkan agar tidak peduli kepada kakak sulung yang berang pada diri. Lebih menenangkan jiwamu, Amiruddin menghubungi menyatakan benar apa yang dikatakan bondanya itu.
Engkau rasa sedikit lega. Bertambah lega apabila selepas itu, engkau mula berhubungan dengan Raihanah melalui email. Sebulan sekali. Berta’aruf. Berkongsi cerita. Dan engkau dapati, sepanjang perkongsian engkau dengan dia di dalam email, dia ceria-ceria sahaja. Engkau buat lawak, dia tertawa. Dia juga sudi menceritakan kehidupannya, apa yang dia suka dan sebagainya.
Engkau kira, semuanya berjalan lancar.
Engkau kira.
Tetapi siapa yang tahu apa sebenarnya berlaku.
Engkau hanya manusia.

******

Engkau pulang bercuti, selepas dua tahun tidak pulang. Sambutan kepadamu sangat hangat. Memandangkan album yang engkau keluarkan mendapat perhatian yang amat menggalakkan. Walaupun namanya bercuti, tetapi engkau hakikatnya berkerja. Ke hulu ke hilir engkau dibawa syarikat rakaman untuk bertemu pendengar, untuk menghadiri temu ramah di stesen radio, dan tidak kurang juga memberikan ceramah memandangkan apa yang engkau nyanyikan itu punya nilai rohani dan motivasi.
Di tengah kegencaran kesibukan ini, engkau sempat luangkan masa menziarahi rakan-rakan. Bertemu dan bertukar cerita. Bermesra setelah sekian lama tidak berjumpa.
Tetapi siapa sangka, rakan-rakan yang engkau cinta itulah, yang membawa kisah buruk di dalam hayat yang engkau kira bahagia.
“Ridhwan.” Toriq bersuara. Nada sembang-sembang yang ceria tadi, jadi dingin secara tiba-tiba. Engkau memandang ke arahnya dengan senyuman yang masih bersisa.
“Kenapa?”
“Macam mana engkau dengan Raihanah?”
“Em? Ok je. Kenapa tiba-tiba tanya?”
“Taklah. Aku dengar engkau paksa dia.”
“Ha? Siapa cerita?”
“Adik aku. Dan kawan-kawan dia di universiti. Mereka cerita, katanya Raihanah menangis-nangis cerita fasal engkau paksa dia.”
Engkau tahu adik Toriq seuniversiti dengan Raihanah. Tetapi benarkah cerita ini? Engkau bertanya kepada diri. Namun, mustahil Toriq berbohong. Toriq itu sahabatmu semenjak kecil. Sekolah menengah bersamamu. Menjadi pengawas bersamamu. Melalui pelbagai pahit maung bersamamu. Engkau sendiri tidak sampai hati untuk menyatakan Toriq membawa cerita palsu.
“Betul ke ni Toriq?”
Engkau lihat Toriq mengangguk.
“Aku tak tahu pun.”  Nadamu kecewa. Benar-benar kecewa. Kalau sampai Raihanah mengalirkan air mata, maka apakah makna engkau hidup di atas dunia? Tetapi engkau juga sangsi dengan kenyataan Toriq sebenarnya. Kerana nyata engkau selama ini berbalas email dengan Raihanah, dia kelihatan ceria sahaja. Namun sekali lagi engkau kata: Di dalam tulisan, mana tahu dia sembunyikan kesedihannya di balik cerianya tulisan dia?
Engkau mula rasa rapuh. Engkau kecewa. Berita ini nyata buat engkau tidak gembira.
Lebih buruk, perkara itu tidak tamat begitu sahaja. Engkau pergi menziarahi seorang lagi rakan, dan ketika sarapan, dia yang bernama Rafiq itu bersuara.
“Adik aku balik rumah, bising sebut nama engkau. Kata engkau ni mengada-ngada. Raihanah dah tak suka, engkau lagi paksa-paksa.” Tiba-tiba Rafiq membangkitkan.
Engkau yang lapar dan hajatkan sarapan yang enak, terus hilang selera. Dan engkau tahu, adik Rafiq juga belajar di universiti yang sama dengan Raihanah. Engkau mula rasa, ke mana engkau pergi, wajah engkau adalah wajah pemaksa. Pemaksa anak orang.
Benarkah? Fitnah apakah ini?
“Tetapi aku tak kisah pun.” Rafiq tersenyum kepada engkau. Namun senyuman itu tidak dapat menenangkan jiwamu. Kerana yang penting untuk engkau bukan apa yang Rafiq fikir. Bukan apa yang seluruh dunia rasa. Tetapi apa yang Raihanah rasa. Benarkah dia terseksa? Engkau mengulang-ulang pertanyaan itu.
Hingga kepada sahabt engkau paling karib, Emrullah, menyuarakan hal ini.
“Sahabat, kakak aku tanya, betul ke engkau paksa Raihanah?”
“Engkau dengar daripada mana ni Emrullah?” Suasana di dalam kereta terus menjadi kelam. Sedang tari baru sahaja ceria berkongsi itu dan ini dengan seorang Emrullah. Sahabat paling akrab yang engkau ada.
“Aku dengar daripada kakak aku. Tetapi kakak aku kata, dia tak percaya.”
“Kakak engkau dengar daripada mana?”
“Kakak aku dengar kawan dia cerita, yang kakak kepada Raihanah tu bising-bising pada kawan-kawan kata engkau paksa Raihanah.”
Kakak sulung Raihanah. Engkau jadi teringat kepada apa yang Amiruddin cerita.
“Dan aku sah-sah lah tak percaya. Itu yang aku tanya.” Jelas Emrullah.
“Mana aku paksa dia. Aku lamar dia pun tidak!” Engkau bercerita. Dan bersama Emrullah, engkau tidak malu mengalirkan air mata.
“Engkau belum dengar cerita yang lebih ridiculous. Kata engkau lamar dia sampai empat kali.” Emrullah bersuara.
Engkau hanya mampu menggeleng kepala. Fitnah. Bila mula disebar, dan ditebar, maka ianya akan berubah dan berkembang menjadi perkara lain. Entah siapa yang mula menyebarkan perkara ini. Engkau sudah mula mendapat satu nama.
Kakak sulung Raihanah. Namanya Rania Maisarah.
Tetapi entah mengapa, di dalam lubuk hatimu menyatakan, Raihanah mungkin terlibat sama.
Mungkin benar Raihanah juga bercerita.
“Entahlah Emrullah. Aku kecewa dengan apa yang berlaku.”
Dan di dalam kereta yang dipandu Emrullah itu, engkau lepaskan tangisanmu. Emrullah sahabat setia, berdiam begitu sahaja, dan engkau tahu begitulah caranya dia menghormati dirimu yang sayu.

*******

Tiada yang mengetahui bagaimana kisahmu. Di balik hujan populariti dan perhatian yang diberikan mereka yang mengikutimu. Di balik ulasan para blogger berkenaan lagu-lagumu. Tiada yang tahu. Saat engkau menunjukkan keceriaanmu di Facebook, orang hanya tahu engkau adalah manusia paling bertuah di dunia. Tiada siapa yang mengetahui bagaimana kisahmu yang sebenarnya.
Kini engkau telah menjadi tunangan orang. Engkau umumkan kepada khalayak bahawa engkau telah bertunang, dan dengan permintaan Raihanah, engkau rahsiakan namanya. Engkau sendiri mengetahui bahawa engkau ramai peminat perempuan. Engkau pernah beberapa kali dilamar mereka, juga pernah sampai ada yang menulis di blognya berkenaan engkau. Engkau mula sedar hakikat dunia. Kadangkala engkau hanya membalas salam yang diberikan sahaja, mereka sudah gembira tidak terkira. Sedangkan untukmu, itu biasa-biasa sahaja. Kerana itu engkau umumkan pertunanganmu. Kerana itu, kadangkala engkau ceritakan rindumu.
Semua menyangka engkau sedang lalui period bahagia. Hendak meniti alam perkahwinan, semua sangka engkau termotivasi dengannya.
Tiada siapa mengetahui betapa peritnya apa yang engkau lalui.
Memang engkau pun tahu, sukar hendak membersihkan namamu. Apatah lagi apabila ada ahli di dalam keluarga yang bercerita, pasti orang lain buta-buta percaya. Sedang posisimu adalah ‘Sang Pemaksa’, siapa mahu dengar ceritamu? Ditambah dengan engkau merupakan seorang punya nama, seorang punya harta, rata-rata menganggap engkau ego dan angkuh, berlagak dan kasar. Tidak mustahil dengan gambaran sedemikian rupa, orang percaya engkau memaksa anak orang.
Tersepit.
Bila bertunang, tambah perit. Ada suara busuk menyatakan itu satu lagi bentuk paksaan. Tiada siapa yang tahu, engkau hendak menjaga hati Raihanah, sanggup engkau kata: Tidak bertunang pun tidak mengapa. Namun ini semua hajat Ummimu, Ummimu yang menghubungi Raihanah, dan Raihanah yang bersetuju. Tiada siapa tahu bagaimana tersepitnya engkau di dalam suasana. Tiada siapa yang tahu bagaimana engkau risaukan keadaannya, Raihanah yang engkau cinta.
Yang rakan-rakan engkau tahu, engkau seorang pemaksa.
Pemaksa anak orang. Bukan satu tuduhan yang kecil. Kerana engkau bakal berkahwin dengannya, dan hidup bersamanya. Engkau bukan tidak tahu engkau pernah di’reject’. Kerana itu engkau usahakan macam-macam cara untuk memenangi hati Raihanah. Sangka engkau, penerimaan semula adalah ‘peluang’ yang diberikan oleh Raihanah sendiri. Sungguh engkau tidak menyangka begini pula jadinya cerita.
Naif. Bodoh. Itu yang engkau ulang kali sebut tatkala mengherdik diri.
Hinggalah kala engkau mengajak Raihanah sendiri membincangkan perkara ini. Awal-awalnya, Raihanah mengelak itu dan ini. Tetapi engkau nyatakan bahawa, ini mesti diselesaikan. Sampai engkau merasa, mungkin kerana rasa ‘terpaksa’ inilah Raihanah menolak untuk berkahwin awal dengan engkau. Engkau ingin rasa ‘terpaksa’ ini hilang.
Bahkan, jika benar rasa ‘terpaksa’, hingga segala kegembiraan yang engkau lihat di dalam tulisan Raihanah selama ini adalah palsu belaka, engkau mahu putuskan sahaja hubungan ini. Engkau tidak mahu sukarkan Raihanah.
Dan Raihanah akhirnya mengalah. Bersetuju berbincang dan menceritakan kebenaran. Dua hari suntuk engkau dan dia berbalas email berbincang akan perkara sebenar. Meluahkan apa yang terkandung di dalam hati.
Engkau akhirnya mula tahu, ini semua berpunca dari salah faham yang berlaku.
“Saya pun ingat awak yang paksa. Tetapi lepas saya berhubung dengan awak, saya tak rasa awak begitu orangnya. Yalah, saya tersilap awal-awal dulu emosi sangat. Saya cerita pada kawan-kawan. Masa itu saya tak kenal awak betul-betul lagi.”
Dia akhirnya memberikan pengakuan.
“Habis, awak masih rasa terpaksa? Awak benci dengan saya?”
“Tidak. Saya tak rasa benci pun pada awak. Bahkan, saya usaha buka hati saya untuk terima awak.” Berserta smileys yang menyenangkan.
“Bagaimana dengan kakak awak?”
“Hem, yang itu entahlah. Entah apa yang dia tak suka sangat. Awak, awak biar sahajalah dia ya?”
“Asal awak bahagia, orang lain nak rasa apa, saya tidak kisah.”
“Saya minta maaf kalau saya tak berani nak bersihkan nama awak, nak backing awak dari kakak saya, dan sebagainya. Saya sedar saya silap, saya minta maaf. Dan minta maaf sebab saya bukan jenis yang boleh sangat jiwang-jiwang ni. Sebab itu saya biasa-biasa sahaja dengan awak. Kita bercinta lepas kahwin ya?”
“Saya tetap akan terus cintakan awak, sampai kita kahwin, dan selepas itu.”
Dan smileys terwujud pada email, tanda semuanya baik-baik sahaja.
Engkau yang kini menghadap pantai di Plymouth rasa bahagia dengan email yang diterima malam tadi itu. Engkau rasa tenang. Engkau rasa senang. Ya, namamu masih buruk bagi sebahagian rakan-rakan kerana tiada yang mampu membelamu. Perlu yang bersalah yang membersihkan nama. Tetapi engkau sudah cukup bahagia.
Engkau memandang ke langit hari itu, dan engkau berbicara kepadaNya:
“Engkau ya Allah, hikmahMu memang tiada siapa mampu menjangka.”
Engkau teringat saban tangismu melalui hari-hari lalu. Engkau kembali melihat betapa engkau berubah menjadi lebih berhati-hati. Engkau mejadi lebih memikirkan orang lain. Engkau jadi lebih matang dan lebih berpandangan jauh.
Allah sedang mendidikmu. Itu yang engkau lihat daripada cerita ini.
Engkau mengenali kehidupan dunia ini dengan lebih jelas. Permainan di dalamnya berkembar dengan kebahayaan. Engkau menyedari, sebaik mana pun seseorang itu berusaha, dia pasti akan diduga. Sebersih mana pun jalan yang diambil, pasti akan ada dukanya. Engkau akhirnya berjaya menyelami makna sabar dan percaya kepada Allah, engkau akhirnya berjaya menggapai perasaan bersangka baik kepada Ilahi tatkala diduga hebat.
Engkau bersyukur tidak mengalah. Eengkau bersyukur engkau sabar.
“Kalau Rasulullah pembawa kebenaran itu pun diuji, mustahil tidak aku.” Engkau berkata kepada diri.
Mungkin kehitaman cerita yang terpalit padamu tidak akan dapat dicuci.
Mungkin sebahagian besar rakan-rakanmu tidak akan mengetahui cerita yang sebenar ini. Bahkan, perjalanan cinta sebegini amatlah berat untuk seseorang itu lalui.
Sudahlah berada dalam batasan syara’, yang tidak membenarkan itu dan ini. Diketatkan lagi dengan sikap Raihanah yang sangat menjaga, hingga bermesra pun jarang sekali. Disempurnakan pula dengan fitnah-fitnah yang melanda diri. Ya. Memang perit sekali.
Tetapi kala engkau menghadap laut ini, engkau rasa puas hati diaturkan sebegini.
Engkau telah belajar, menjadi hamba yang lebih sejati.
“Ini pengajaran berharga dalam hidupku, dan aku berterima kasih kerana Engkau meletakkan aku untuk melaluinya, Wahai Tuhanku.”

********

Semua jemputan sudah pulang. Kemas-kemas pun sudah selesai. Sesi ta’aruf bersama keluarga juga telah usai. Abah dan Ummi sudah masuk ke bilik. Adik-adikmu semua sudah tertidur kepenatan di ruang tamu. Sepupu-sepapat, saudara-mara, sudah pulang.
Tinggal engkau dengan dia sahaja kini, berduaan. Di atas katil yang dihias indah itu, engkau duduk dengan Raihanah berada di sebelahmu.
Majlis berjalan lancar. Walau engkau tidak senang dengan kehadiran Sang Kakak yang tidak pernah hendak menyelesaikan masalahnya denganmu, engkau sekadar mencari wajah Raihanah, biar kekuatan muncul di dalam kalbu.
Lain tatkala orang yang dicintai selama ini dari jauh, kini boleh dipegang sentuh.
Bahagia. Entah apa perkataan lain yang boleh menggantikan perkataan itu, untuk mendefinisikan apa yang dirasa.
“Ehem.” Raihanah di sebelah berdehem kecil, mengeluarkan engkau dari lamunan.
“Ah, ya Cik Raihanah?” Engkau mengangkat sebelah kening, bertanya.
“Kita nak buat apa ni?” Engkau dapat melihat wajahnya tertunduk. Merah pipinya.
Malam pertama. Orang buat apa yang orang buat pada malam pertama. Engkau pegang tangannya.
“Awak, bolehkah kita bercinta dahulu?”
“Eh?” Raihanah mengangkat wajahnya terkejut.
Engkau hanya menggaris senyum. Sebenarnya, engkau juga kekok. Engkau tidak biasa sebegini. Engkau bergaul dengan ramai perempuan, tetapi bukan tanpa batas sebegini. Ini adalah perempuan pertama halal buatmu, dan engkau rasa segan sendiri.
Engkau hanya memberanikan diri.
“Kita tidak pernah bercinta kan? Sekurang-kurangnya, awak tak pernah mencintai saya sebelum ini. Bolehkah kita bercinta dahulu?”
“Ini ke sebab awak tak cium saya langsung hari ini macam pengantin-pengantin lain buat?”
“Saya hanya mahu mencium perempuan yang mencintai saya.”
Engkau lihat dia memuncungkan bibirnya dan berpaling. “Alah, perempuan macam itu kan ramai di luar sana. Carilah mereka.”
Engkau gerakkan tanganmu, menyentuh dagunya, menarik wajahnya semula kepadamu.
“Dengan syarat, saya mencintainya juga.” Engkau angkat kening dua kali. Nakal.
“Jahat!” Terus dadamu ditumbuk perlahan.
Engkau tertawa. Siapa sangka waktu ini akan hadir?
Suasana bilik menjadi sepi seketika.
“Awak, sesiapa pun yang melihat apa yang awak lalui dan bagaimana awak melaluinya, akan jatuh cinta dengan awak.” Ketika ini, engkau yang terkejut apabila tangan lembut itu menyentuh kulitmu, dan bibirnya mengucup pipimu.
Kemudian dia terus merangkulmu erat. Matamu sudah bergenang.
“Dan oleh kerana saya sahaja yang lihat semua itu, maka saya sahaja yang mampu jatuh cinta kepada awak, Ridhwan.” Lebih erat.
“Saya cintakan awak.” Raihanah mengulang.
Dan air matamu mengalir ketika itu juga.
“Saya telah lama mencintai awak, Raihanah.”
Dan kalian bermesra secara halal pada malam yang indah itu. Di bawah lembayung rahmat dan kasih Tuhanmu.
************
Engkau satu ketika di tengah kepahitan ini pernah menjerit ke langit kerana rasa terseksa. Mengapa Engkau susun hidupku begini? Begitu engkau memarahi Ilahi. Hilang seketika segala percaya yang pernah engkau bina. Kerana kecewa. Kerana berputus asa. Kerana jiwamu retak sejuta.
Engkau yang bersusah payah membina kerjaya.
Engkau yang selama ini berdikari seorang diri.
Engkau yang selama ini mempersiapkan diri.
Bukan ada sesiapa yang memerhati dan menyelami.
Akhirnya diberikan jalan cinta sedemikian perit, siapakah yang tidak patah hati?
Lebih baik bercouple, engkau pernah kata.
Lebih baik mengorat anak orang, engkau pernah kata.
Tetapi pada saat ini wahai Ridhwan,
Aku ingin bertanya,
Apakah yang engkau rasa?
“Seakan segala perit itu, tidak pernah aku lalui.” Itulah jawapan sukma.
Bukankah engkau rasa beruntung memilih untuk mengutip kembali jiwamu yang retak sejuta itu? Bukankah engkau rasa beruntung memilih jalan ini dan menyambung kepercayaanmu?
Sesungguhnya inilah dia pengajaran daripada Tuhanmu.

Monday 12 March 2012

Kemarau di Hati

KEMARAU DI HATI (MESTICA)

Rintik hujan daun kebasahan
Kenangan larut di arus rindu
Malam gelap zulumat yang menutup sinaran
Kemarau hati semakin memilu

Hanya gemersik angin dari pohon-pepohon
Yang mengimbau ingatan meramas nurani
Bak amukan gelora yang menghempas di dada
Resah sendumu menggamit derita
Berderaian di mata

Yang pulang pergi usahlah dirintih
Doakan saja dikurnia sejahtera
Apalah diratap dengan tangis keharuan
Leraikan hiba pujuklah hatimu
Pemergiannya iktibar buatmu

Usah dianyam sepi dengan kesedihan
Tak terhalang segala kehendak Ilahi
Dituruti rasa tidak sampai ke mana
Duka dan lara melemahkan jiwa
Simpanlah di hati

Bila sampai di garis sempadan
Perahu usia di hentian terakhir
Tiada pun sesaat detiknya dipertangguh
Hidup direntas ketentuan takdir
Kemarau hati biarkan berlalu..

p/s: you can look back, but never step back..
Every moment is precious, hold it tightly.