Saturday 4 June 2011

HAIWAN dan persamaan dengan manusia seperti di dalam al-Qur'an

Segala makhluk yang merayap di bumi, dan burung-burung yang terbang dengan sayap-sayapnya adalah umat-umat yang serupa dengan manusia. Keserupaan menyerlah apabila sifat sesetengah daripada mereka disamakan pula dengan sesetengah manusia.

Semua haiwan dicipta oleh Allah, dan mereka dicipta daripada air. Allah menjelaskan dengan lebih lanjut,

    "Allah mencipta semua haiwan daripada air, dan sebahagian mereka berjalan di atas perut mereka, dan sebahagian mereka berjalan di atas dua kaki, dan sebahagian mereka berjalan di atas empat" (24:45).


Manusia pun dicipta daripada air (25:54), dan seperti manusia, haiwan diwarnakan Allah dengan pelbagai warna, dan Dia seterusnya merezekikan mereka berdua. Al-Qur'an menjelaskan,

    "Antara manusia juga, dan haiwan, dan binatang ternak, bermacam-macam warnanya." (35:28)

    "Berapa banyaknya haiwan yang tidak membawa rezekinya sendiri, tetapi Allah memberi rezeki untuknya dan kamu!" (29:60)


Haiwan, bersama segala yang di langit dan di bumi, sujud kepada Allah, tetapi tidak dengan manusia, kerana ramai yang tidak turut sujud, lalu wajarlah mereka diazab. Firman Tuhan,

    "Tidakkah kamu melihat bagaimana kepada Allah sujud segala yang di langit, dan segala yang di bumi, dan matahari, dan bulan, dan bintang-bintang, dan gunung-gunung, dan pokok-pokok, dan haiwan-haiwan, dan ramai daripada manusia? Dan ramai, wajarlah azab ke atas mereka" (22:18).

Antara haiwan ada yang diburu. Namun, mereka haram diburu oleh orang-orang yang telah menetapkan untuk Haji. Mereka berada dalam keadaan haram, atau ihram seperti yang lazim disebut. Mereka dilarang kerana Allah ingin menguji mereka. Demikian menurut ayat-ayat di bawah:

    "janganlah membunuh binatang buruan sedang kamu dalam haram (ihram)" (5:95).

    "Allah menguji kamu dengan sesuatu daripada binatang buruan yang tangan-tangan kamu, dan tombak-tombak kamu capai, supaya Allah mengetahui siapa yang takut kepada-Nya yang dalam keadaan ghaib." (5:94)


Selanjutnya, orang-orang yang dalam keadaan haram, mereka bukan sahaja dilarang memburu, malah daging binatang buruan darat, yang diburu oleh orang lain pun diharamkan kepada mereka untuk dimakan. Iktibar diambil daripada sebuah firman bermaksud,

    "Dihalalkan bagi kamu adalah binatang buruan laut, dan makanan daripadanya, sebagai suatu peruntukan bagi kamu, dan bagi pengembara-pengembara. Tetapi diharamkan kepada kamu binatang buruan darat selama kamu dalam haram (ihram)" (5:96).

Apabila mereka telah menyelesaikan Haji mereka dibenarkan untuk terus memburu haiwan buruan. Firman-Nya, 

    "Tetapi, apabila kamu telah menyelesaikan, maka burulah binatang buruan." (5:2)

Dalam pada itu, mereka yang tidak dalam keadaan haram dibolehkan memburu binatang buruan. Tujuan memburu binatang adalah untuk dimakan. Untuk tujuan yang selain daripada itu al-Qur'an didapati tidak memberi sebarang petunjuk.

Turut tercatat di dalam al-Qur'an mengenai haiwan ialah haiwan-haiwan buas, yang akan dikumpul pada Hari Akhir. Firman Tuhan,

    "Apabila haiwan-haiwan buas dikumpulkan," (81:5). 

Dan, haiwan yang keluar dari bumi. Terdapat dua ayat mengenainya. Pertama, ayat mutasyabihat, yang menyatakan ia akan berkata-kata kepada manusia, berbunyi,

    "Apabila Ucapan jatuh kepada mereka, Kami mengeluarkan untuk mereka dari bumi, suatu haiwan yang berkata-kata kepada mereka - manusia tidak yakin akan ayat-ayat Kami." (27:82)


Kedua, ayat muhkamat, mengisahkan tentang kematian Nabi Sulaiman:

    "Dan apabila Kami menentukan kematian kepadanya (Sulaiman), tiada yang menunjukkan kepada mereka kematiannya, melainkan haiwan daripada bumi yang memakan tongkatnya; dan apabila dia jatuh ....." (34:14)


Balik kepada tajuk binatang buruan, untuk menyentuh hal buruan di laut pula. Binatang buruan laut, dan makanan lain daripada laut, semua halal dimakan pada bila-bila masa sahaja, termasuk ketika berada dalam keadaan haram, dan tanpa syarat disembelih seperti yang di darat. Dari laut, baik yang airnya tawar mahupun masin, datang "daging yang segar" (16:14, 35:12) yang sedap dimakan.

No comments:

Post a Comment